KD Pendekar alami kebocoran

SEPANG 25 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenal pasti punca kebocoran Kapal Diraja (KD) Pendekar miliknya tengah hari ini..

Dalam satu kenyataan, TLDM berkata KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika berada kira-kira dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusup di Johor.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika kapal berkenaan sedang melaksanakan penugasan operasi. Kebocoran itu dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air.

“Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal berkenaan merebak dengan cepat dan tidak terkawal. Semua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya,” kata kenyataan itu.

TLDM berkata, fokus utamanya kini adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal.

“TLDM merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden ini iaitu Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini,” kata kenyataan itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment