KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Sharif, menolak dakwaan bahawa Kuala Lumpur adalah lokasi tidak selamat dan berpotensi berlaku “giant sinkhole” seperti yang tular di media sosial.
Beliau menegaskan keadaan di ibu negara adalah selamat kerana ia telah dibangunkan sejak sekian lama.
“Saya berpendapat Kuala Lumpur ini pun sudah lama dibina dan dalam tempoh itu ia adalah selamat. Kalau nak mengatakan tidak selamat mestilah ada bukti dan kajian-kajian yang terperinci,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.
Maimunah berkata, pihaknya telah menubuhkan ‘task force’ termasuk bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kepada aspek keselamatan di ibu negara.
“… untuk melihat ataupun mengkaji keadaan sebab kalau dilihat dari segi sedia ada, pada pendapat saya adalah Kuala Lumpur ini masih selamat. Ya, melainkan kalau ada kajian yang menunjukkan bukti-bukti kajian,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook satu kemas kini mendakwa tempat yang paling tidak selamat di Malaysia adalah Kuala Lumpur, yang berpotensi berlaku ‘giant sinkhole’ pada bila-bila masa.
Sementara itu, Sulizmie Affendy berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India Jumaat lalu, di sini akan diteruskan sehingga mangsa dijumpai.
Sulizmie berkata operasi SAR yang memasuki hari ketiga melibatkan 104 anggota pelbagai agensi keselamatan.
Sebelum itu, Rozihan dalam sidang media sama memaklumkan operasi SAR hari ini memfokuskan lurang kumbahan (manhole) lima dan enam, masing-masing terletak berdekatan Agro Bank dan Bulatan Kinabalu.
Bagaimanapun, setakat petang ini operasi pencarian mangsa warga India dikenali sebagai Vijayaletchumi, 48, belum membuahkan hasil.
Nnn
