MOSCOW – Russia mengalami gangguan perkhidmatan mesej Telegram dan WhatsApp besar-besaran semalam yang menurut pengawal selia media negara itu, Roskomnadzor sebagai serangan siber.
Pengguna dari kedua-dua platform melaporkan lonjakan masalah sambungan pelayan yang bermula sekitar pukul 2 petang waktu Moscow.
Roskomnadzor berkata “serangan” yang menyebabkan “gangguan berskala besar” kepada perkhidmatan aplikasi itu berjaya dipulih dalam masa sejam dan perkhidmatan berfungsi semula seperti biasa.
Pengawal selia itu menyatakan gangguan itu sebagai serangan siber jenis serangan Penafian Perkhidmatan Teragih (DDOS) yang menyasarkan pengendali telekomunikasi Russia.
Serangan DDoS dicipta untuk memaksa laman web tidak berfungsi dengan membanjirinya dengan trafik internet yang berniat jahat.
Gangguan ini berlaku ketika kumpulan hak asasi manusia menuduh Moscow meningkatkan penapisan internet, dengan mengharamkan laman web yang membawa maklumat bebas mengenai konflik Ukraine.
Pada tahun 2022, Rusia melabelkan syarikat induk WhatsApp, Meta, sebagai “ekstremis” dan telah menyekat akses ke laman Meta seperti Instagram dan Facebook ketika Kremlin mengetatkan kawalan terhadap ruang media sosial.
Pihak berkuasa juga telah mengancam untuk mengharamkan laman perkongsian video popular YouTube, dengan pengguna melaporkan kesukaran mengakses laman tersebut di Rusia awal bulan ini
