DUBAI – Keadaan cuaca dan ketidakupayaan pesawat untuk menampung berat yang dibawanya menjadi punca nahas helikopter yang mengorbankan bekas Presiden Iran, Ebrahim Raisi pada Mei lalu.
Menurut laporan agensi berita Iran yang, memetik sumber keselamatan, siasatan dalam kes nahas helikopter Ayatollah Raisi sudah selesai dan kepastian sepenuhnya bahawa apa yang berlaku adalah disebabkan kemalangan.
Laporan awal oleh tentera Iran memaklumkan pada Mei bahawa tiada bukti sabotaj atau serangan ditemui setakat ini ketika siasatan terhadap nahas itu.
Siasatan menunjukkan helikopter terbabit membawa lebih dua individu daripada kapasiti yang ditentukan oleh protokol keselamatan.
Dalam kejadian 19 Mei lalu, helikopter yang membawa Raisi, bersama sejumlah pegawai kanan dilaporkan terhempas di barat laut Iran.
Raisi dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis perasmian empangan di sempadan Iran-Azerbaijan, apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika mahu mendarat di wilayah Varzaqan.
Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian; Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati; Imam Solat Jumaat di Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem; dan beberapa pegawai lagi dipercayai turut berada dalam helikopter berkenaan,
Raisi, seorang pelapis tegar dan berpotensi pengganti Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam nahas di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Azerbaijan.
Cuaca berkabus dan keadaan kawasan terbabit yang sukar dilalui menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berdepan kesulitan
