APABILA menang muncullah pelbagai analisis yang mewajarkan kemenangan. Riuh rendah ruang media sosial pihak yang menang menampilkan pelbagai reaksi. Macam-macam cerita keluar. Yang kalah pula membisu seribu bahasa. Itu politik.
Apa pun kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukanlah sesuatu yang luar biasa atau kejutan. Tidak seperti kemenangan Pas di Sungai Bakap. BN layak menang di Nenggiri.
PRK DUN Sungai Bakap banyak memberi pengajaran kepada parti-parti yang bertanding untuk merangka strategi bagi mencatatkan kemenangan.
Justeru ketika Perikatan Nasional (PN) mungkin ‘leka’ dengan kemenangan Sungai Bakap, BN lebih bersedia menyusun strategi menggembleng tenaga ‘orang lama’ dan orang muda di peringkat pusat dan negeri.
Maka tidak hairanlah, jentera UMNO begitu aktif berkempen malahan Presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi khabarnya turun ke gelanggang sebanyak tujuh kali, sesuatu yang tidak pernah dilakukan semasa PRK sebelum ini.
PN masuk ke dalam gelanggang Nenggiri dengan berbekalkan kemenangan bergaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap tetapi langkah awal mereka agak sumbang apabila ‘calon’ ibarat bidan terjun atau ‘payung terjun’.
Situasi itu menimbulkan pelbagai tafsiran bukan sekadar kepada ahli parti mereka sendiri – Bersatu dan PKR, malahan membuka ruang untuk BN dan rakan-rakan mempolitikkan situasi itu.
BN khususnya UMNO sebaliknya masuk gelanggang dengan berbekalkan kekalahan sekutunya PKR yang gagal merampas semula DUN Sungai Bakap manakala calonnya pula ‘tepat’ daripada keluarga UMNO bahagian Gua Musang itu sendiri.
Strategi BN di Nenggiri lebih kepada berkampung dan program taqarrub, tanpa ceramah besar-besaran seperti sebelum ini. Petugas mereka mendekati masyarakat di kampung-kampung termasuk Orang Asli. Fokus utama kepada isu tempatan.
Gua Musang tidak dinafikan adalah antara kubu kuat UMNO sebelum ini yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah tetapi beliau tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan majoriti kecil 163 undi.
Walaupun tewas, tentunya pengaruh Ku Li di Gua Musang masih kuat. Maka awal-awal lagi UMNO sudah ‘melamar’ Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK).Ku Li tidak menolak. Suatu keputusan yang banyak membantu BN.
Manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub pula sebagai Pengarah Operasi PRK. Jelaslah strategi ini berjaya.
Dalam erti kata lain kemenangan BN itu menunjukkan UMNO masih diterima, di Kelantan, tidak dipengaruhi faktor parti lain terutama dalam PH, sama ada PKR, Amanah dan DAP. Lihat sahaja ‘syarat’ kempen PRK Ku Li. Tanpa DAP.
Selain tewas bagi kerusi Parlimen Gua Musang, pada PRN lalu, di samping Nenggiri, BN juga tewas di Paloh apabila calonnya Amran Arifin memperoleh 5,202 berbanding calon Pas, Dato Shaari 7,407. Pas menang dengan majoriti 2,205.
Hakikatnya, kemenangan Nenggiri itu memperlihatkan BN masih kuat di Gua Musang malahan jika diadakan PRK bagi kerusi Parlimen, BN tidak sukar untuk menang. Begitu juga Jeli. Malangnya UMNO tidak berpeluang menguji kekuatan di situ.
Jika diselak semula keputusan pengundian di Nenggiri sejak 2004, kecuali 2018, BN menang dengan majoriti selesa malahan majoriti lebih besar direkodkan pada tahun 2008 iaitu sebanyak 3,849 berbanding kemenangan PRK semalam 3,372.
Pada 2004, Mat Yusoff Ab Ghani (BN) memperoleh 4,516 undi manakala
Mohd Zain Muhammad (Keadilan) 1,831. BN menang majoriti 2,685 undi.
Pada 2008, BN mempertahankan kerusi itu, mengalahkan calon PKR dengan majoriti 2,090 undi dan 2013 menang dengan majoriti lebih besar iaitu 3,849 undi juga mengalahkan calon PKR.
Bagaimanapun penyertaan Pas pada PRU 2018 menyebabkan BN menang dengan majoriti kecil iaitu 461 undi apabila memperoleh 5,506 undi manakala calon Pas mendapat 5,045 dan PKR 788 undi.
Begitu senario kedudukan BN atau UMNO dalam pilihan raya melibatkan DUN Nenggiri. Pengundi ‘merajuk’ kepada UMNO sekejap, mungkin sekadar ‘protes’.
Berikutan kemenangan itu, hasrat Zahid mahukan BN menang menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024) pada 21-24 Ogos ini sudah tertunai.
Langkah ke Dewan Merdeka kini lebih bergaya. Seperti kata Zahid, PAU 2024 akan menjadi lebih signifikan sekiranya kerusi DUN Nenggiri dimenangi calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, dan dikembalikan kepada UMNO.
Menjelang hari pengundian, Zahid berkata, Nenggiri akan menyumbang kemenangan supaya UMNO tidak menjadi batu nisan di Kelantan. Satu kerusi lagi akan menjadi tungku (tonggak ketiga).
“Insya-Allah, DUN Nenggiri (akan) adalah milik kita semula. Kita berharap dapat menambah seorang lagi ADUN supaya kita boleh mewujudkan tiga ‘tungku mendidihkan air’ bagi suhu politik di Kelantan ini,” katanya.
Apa pun seperti kata Zahid ketika mengulas kemenangan itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu meraikan kemenangan di DUN Nenggiri dengan penuh tawadhu’ dan keinsafan bahawa jalan perjuangan parti masih panjang untuk rakyat.
Nnn
