KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yasin mahu gabungan parti itu kekal istiqomah dalam perjuangannya walaupun tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri semalam.
Menerusi kenyataan melalui Facebooknya, beliau berkata PN menerima keputusan yang sudah dibuat oleh para pengundi
“Walaupun kita mengharapkan kemenangan, kita menerima keputusan yang sudah dibuat oleh pengundi dengan hati yang terbuka.
“Yang penting kita terus istiqamah dalam landasan perjuangan yang menguji kesabaran dan ketahanan kita. Obor perjuangan untuk membela agama, bangsa dan negara ini akan terus menyala,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di DUN Nenggiri yang M mengundi calon PN.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan petugas PN yang mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membantu kempen PN di Nenggiri. Sumbangan dan penat lelah anda semua amat saya hargai,” katanya.
Pada PRK semalam, BN berjaya merampas kembali kerusi tradisinya itu di Kelantan, selepas calonnya menang menewaskan calon PN, dalam saingan satu lawan satu.
Calon BN, Mohd Azmawi Fikri, 38, secara rasmi menang dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.
Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang yang mesra dengan panggilan Awie menang dengan majoriti 3,352 undi di mana BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM).
Nnn
