KUALA LUMPUR 5 Feb. – Perikatan Nasional (PN) mendesak supaya satu sidang khas Parlimen diadakan dengan segera bagi membincangkan isu masa depan Palestin susulan kenyataan Donald Trump bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan ke negara lain
Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), berkata kenyataan Presiden AS itu menunjukkan suasana sudah menjadi semakin ‘gila’, di mana rancangan itu bukan saja akan membawa kepada pembersihan etnik sepenuhnya, malah akan mengubah geopolitik dunia.
“Ini pembersihan etnik sepenuhnya, yang tidak pernah berlaku dalam dunia. Ia akan mengubah geopolitik dunia, bukan saja di rantau sana,” katanya membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sidang khas Parlimen berkenaan, yang diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Dewan Rakyat juga boleh diadakan bersekali dengan Dewan Negara.
“Kita bincangkan soal masa depan Palestin kerana apa yang diumumkan Trump semalam umpama mengisytiharkan perang terhadap umat Islam dan semua pencinta kemanusiaan,” katanya.
Trump, semalam berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza,
tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.
Pengumuman itu menyusuli satu lagi cadangan ‘menggemparkan’ daripada Trump sebelum ini, iaitu memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara jiran secara kekal.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata beliau sudah menghantar satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul hari ini.
Beliau yang bertindak sebagai Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa PN berkata, sidang khas itu mustahak supaya kerajaan Malaysia dapat menyatakan pendirian terhadap dasar luar terkini AS.
“PN mendesak kerajaan untuk menyegerakan usul ini dengan satu sidang khas. Ia untuk membicarakan dengan panjang lebar berkenaan apa yang Presiden Donald Trump umumkan dengan (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu, berhubung tindakan AS untuk mengusir rakyat Gaza ke Jordan dan Mesir.
“Jadi ini adalah satu perkara yang amat besar kerana ia menentukan masa depan bukan saja geopolitik Asia Barat, tetapi juga dunia Islam dan pendirian moral Malaysia selaku pejuang Palestin dalam menangani isu ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Nnn