Melaka: BN beri bayangan sudah ada rakan kerjasama

KUALA LUMPUR 13 Okt . – Barisan Nasional (BN) memberi bayangan sudah mempunyai rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka yang dijadualkan pada November depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan rundingan mengenainya sudah mencapai 90 peratus persefahaman, namun menegaskan keutamaan diberikan kepada sekutu yang jujur dan tidak ‘tikam belakang’.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan perincian lanjut, sekadar menjelaskan ‘parti yang boleh dijadikan sebagai kawan’.

“Kita mudah sahaja, bila berkawan kena kawan betul-betul. Jangan kawan tikam kawan. Jangan kawan di depan, tetapi belakangnya diintimidasi dengan pelbagai cara yang tidak sewajarnya kita dalam keadaan berkawan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah ‘Program Siri Jelajah MRSM dan Media Prima: MRSM Bintang Media 2026’ di Balai Berita, di sini hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, barisan kepemimpinan BN akan memuktamadkan soal kerjasama dengan pihak berkenaan dalam masa terdekat.

“Saya boleh katakan rundingan hanya tinggal 10 peratus sahaja. Maknanya secara kerangka asasnya, sudah kita capai kata putus.

“Setakat ini BN akan terus mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini dengan tujuh kerusi yang masih dalam rundingan termasuk soal pertukaran kerusi,” katanya.

Tambahnya, setakat ini rundingan berjalan lancar termasuk berkaitan pertukaran kerusi dengan masing-masing sedia untuk berkompromi demi perpaduan ummah.

“Saya boleh katakan, rundingan ini cukup konstruktif dan kita tidak ada banyak sangat masalah kerana masing-masing sedia untuk berkompromi.

“Paling utama, kita tidak boleh nafikan hasrat rakyat yang mahu melihat perpaduan ummah terutamanya antara dua parti politik terbesar Melayu ini dapat kita realisasikan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment