Bangunan milik Aramco diserang

RIYADH – Sebuah bangunan pentadbiran milik syarikat minyak Aramco di bandar Dhahran, Arab Saudi, menjadi sasaran serangan Kumpulan Houthi, beberapa jam selepas gabungan tentera pimpinan Arab Saudi menyerang kemudahan minyak di Sanaa, Yaman.

Bagaimanapun menurut Kementerian Tenaga Arab Saudi, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan walaupun berlaku kebakaran.

Terdahulu, jurucakap Houthi, Yahya Saree, memberi amaran supaya pekerja dan orang awam menjauhi kemudahan minyak Arab Saudi yang disifatkan sebagai “sasaran sah” sekiranya serangan diteruskan di Yaman.

Gabungan pimpinan Arab Saudi sebelum itu mengarahkan orang awam mengosongkan kawasan stesen minyak utama milik Yemeni Oil Company di Sanaa, yang dikuasai Houthi.

Tidak lama kemudian, beberapa letupan dilaporkan berlaku di ibu negara Yaman itu susulan serangan udara ke atas kemudahan minyak berkenaan.

Ketegangan turut memuncak apabila pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan beberapa peluru berpandu yang dilancarkan Houthi ke arah Riyadh berjaya dipintas.

Serpihan peluru berpandu dilaporkan mencederakan empat orang dan merosakkan 15 buah rumah.

Serangan itu berlaku ketika Arab Saudi terus meningkatkan operasi ketenteraan di Yaman bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf antarabangsa dalam usaha mengekang kemaraan Houthi.

Kabinet Arab Saudi yang dipengerusikan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman menegaskan Houthi akan berdepan “akibat” susulan serangan berterusan ke atas wilayah negara itu.

Sejak minggu lalu, Houthi telah melancarkan beberapa serangan ke atas lapangan terbang dan kemudahan tenaga Arab Saudi, termasuk serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh yang mengorbankan dan mencederakan ratusan orang.

Related posts

Leave a Comment