BATU PAHAT 18 Ogos – Tuntutan Amanah untuk meletak calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berakhir selepas kepemimpinan negeri memutuskan untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN).
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat dipengerusikan Aminolhuda Hassan selaku Pengerusi Amanah Johor yang berlangsung kira-kira tiga jam.
Menurut Aminolhuda, walaupun Amanah memiliki calon berkelayakan dan boleh menang, namun akur dengan keputusan mesyuarat tertinggi Pakatan Harapan (PH) beberapa hari lalu.
Bercakap pada sidang media, beliau berkata, Amanah Johor mendengar luahan akar umbi yang dibangkitkan oleh Amanah Kluang berkaitan dengan tuntutan kerusi DUN Mahkota dan juga isu Kerajaan Perpaduan di Johor.
Bagaimanapun, kepemimpinan tertinggi Amanah Johor yang bermesyuarat hari ini mengambil maklum keputusan pimpinan tertinggi PH tidak akan meletakkan calon dan memberi laluan kepada BN.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Amanah, Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dan Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain.
Isu ‘perebutan’ kerusi Mahkota timbul apabila Mohd Zuhan sebelum ini mendesak pucuk pimpinan PH dan BN supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK.
Mohd Zuhan berkata, Amanah Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.
Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyatakan kekesalan dengan kenyataan Mohd Zuhan itu dan menyifatkan desakan supaya calon Amanah bertanding sebagai gelojoh dan tamak.
Aminolhuda berkata, sehubungan itu, mesyuarat dengan taat setia akur terhadap keputusan dikeluarkan dan akan membantu UMNO dan BN pada PRK itu nanti.
Katanya, Amanah akan mengadakan pertemuan khas pada 26 Ogos ini, yang turut dihadiri Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO bagi membincangkan strategi untuk menang.
Dalam pada itu, mesyuarat juga memutuskan Mohd Zuhan dilantik pengarah pilihan raya bagi parti itu.
Nnn
