Kedai Kopi Jalan Ampas

BIASANYA sebelum ke pejabat, menyorok siap-siap di restoran mamak di Bandar Seri Putra – Taqwa, Mustaqim atau Arsad. Tapi baru-baru ini terus ke Kedai Kopi Jalan Ampas, Cyberjaya. Sudah lama di Cyberjaya tapi tak pernah singgah di situ.

Memang pernah ke lokasi RekaScape, Persiaran Apec tetapi untuk makan tengah hari di sebuah gerai yang ada di situ dan ketika itu kedai kopi berkenaan belum wujud. Khabarnya belum sampai setahun beroperasi.

Melangkah masuk kedai kopi ini, bagi ‘orang lama’ tentunya akan terus mengimbau nostalgia industri filem era P.Ramlee. Apatah lagi mendengar alunan satu persatu lagu-lagu lama nyanyian P.Ramlee termasuk Dendang Perantau.

Sebelum memerhati lebih jauh di dalam kedai, elok lihat dulu menu untuk menyorok. Ada Nasi Lemak Gurindam Jiwa, Nasi Minyak Getaran Jiwa, Nasi Dagang Bunga, Laksa Johor, Roti Gelora, Roti Bakar, Laksam, Mee Kari  Sri Bulan dan telur separuh masak.

Minuman panas dan sejuk disediakan termasuk kopi.

Sesuai dengan namanya Kedai Kopi Jalan Ampas, lokasi lahirnya pelbagai bintang legenda dan filem Melayu, hiasan dalaman kedai juga merupakan barangan lama bagi membangkitkan nostalgia filem-filem arahan dan lakonan P,Ramlee.

Ini termasuk papan tanda yang pernah kita lihat di dalam filem-filem P.Ramlee seperti Buloh Inn, Studio Jalan Ampas, Sekolah Umum Buta Huruf, Haji Bakhil & Co, Kampar Bandar Baru, Ipoh 66, Kampung Pening Lalat, Kampung Pinang Sebatang.

Kelihatan juga foto mereka yang pernah mewarnai filem-filem lama sejak 1950an hingga 1960an, selain P.Ramlee dan Saloma termasuklah Aziz Sattar, Kuswadinata, Ibrahim Pendek, dan S.Shamsuddin.

Surat khabar lama Gelanggang Filem juga kelihatan digantung di satu sudut.

Bagi yang melintasi kawasan ini, bolehlah singgah untuk menyorok atau makan tengah hari dan minum petang. Kedai kopi ini beroperasi hingga 6 petang dan tutup pada Isnin.

Related posts

Leave a Comment