SEREMBAN 1 Okt. – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menjelaskan beliau tiada kuasa untuk mendedahkan minit mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU), walaupun hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Aminuddin berkata, beliau hadir sebagai anggota dalam mesyuarat dan tiada hak untuk meminta Setiausaha DKU menyerahkan minit mesyuarat mengenai pemecatan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak, pada 17 April lalu.
“Berulang kali saya nyatakan saya hanya ahli yang turut hadir. Saya tidak punya kuasa untuk meminta Setiausaha DKU menyerahkan minit mesyuarat yang belum disahkan oleh DKU.
“Isu ini tidak sepatutnya timbul dan diulang-ulang hanya kerana Menteri Besar menghadiri mesyuarat itu dengan mengatakan pastinya Menteri Besar tahu apa butiran mesyuarat,” katanya menerusi media sosial.
Aminuddin berkata, minit mesyuarat itu ialah maklumat sulit yang hanya boleh dikeluarkan daripada klasifikasi sulit oleh DKU yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Justeru, beliau memohon supaya UMNO, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi dapat melihat dan membaca Undang-Undang Tubuh Kerajaan (UUTK) dan DKU sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Semoga UMNO sedar untuk menghentikan segala permainan politik dalam keadaan rakyat resah dan gelisah. Sila mula bekerja,” katanya.
Semalam Sufian Maradzi yang juga, Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan mendesak supaya minit mesyuarat DKU Negeri Sembilan bertarikh 17 April dikeluarkan.
Sufian turut mempertikai minit mesyuarat yang disifatkannya sebagai ‘titik paling penting’ dalam kemelut itu tidak dikemuka ketika pertikaian baru sahaja bermula.
Nnnn
