Kafir harbi boleh dirujuk kepada Zionis

PUTRAJAYA 10 Ogos – Gelaran kafir harbi tidak boleh ditujukan kepada mana-mana warga negara bukan Islam di sesebuah negara yang menghormati perlembagaan dan mematuhi undang-undangnya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dalam konteks hari ini, istilah kafir harbi boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel yang memusuhi dan memerangi umat Islam serta mengusir mereka daripada kediaman dan tanah air.

Menerusi Irsyad Hukum Siri Ke-864: Isu Berkaitan Pengkategorian Kafir Harbi di laman web rasminya hari ini, pejabat itu menjelaskan dalam konteks di Malaysia, mereka daripada kalangan bukan Islam, jauh sekali untuk dimasukkan dalam kategori golongan kafir harbi.

Katanya, melabelkan seseorang warga negara dengan gelaran itu akan membawa implikasi buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin.

Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu adalah satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan.

Menurut pejabat itu, istilah kafir harbi adalah dirujuk kepada golongan orang bukan Islam yang tiada jaminan perlindungan daripada orang Islam dan merupakan golongan yang memerangi Islam dan melakukan kejahatan ke atas mereka.

Semalam DAP menuntut individu yang mengeluarkan kenyataan parti itu adalah ‘kafir harbi di Malaysia’ pada program ceramah Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri supaya memohon maaf.

Menerusi kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman, mereka berkata individu terbabit dipercayai menjadi pengerusi pada majlis berkenaan.

Katanya, DAP juga menuntut kepemimpinan Pas dan PN menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau dikeluarkan individu berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment