WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mula mengatur gerak beberapa aset utama tentera laut di sekitar Iran menjelang akhir November,sebagai langkah meningkatkan kehadiran ketenteraannya di Asia Barat.
Menurut seorang pegawai AS, tiga kapal induk dan dua kumpulan kapal pendaratan amfibia dijangka ditempatkan di kawasan berhampiran Iran sebagai usaha memperkukuh keupayaan ketenteraan negara itu di rantau berkenaan.
Langkah meningkatkan kehadiran ketenteraan itu diumumkan serentak dengan pengenaan sekatan baharu AS terhadap Iran yang menurut Washington bertujuan mengekang aktiviti yang didakwa mengancam kestabilan serantau.
Bagaimanapun setakat ini, pihak berkuasa AS belum mendedahkan butiran lanjut mengenai aset tentera laut yang akan terlibat atau lokasi penempatan khusus bagi kapal-kapal berkenaan.
Tehran sebelum ini berulang kali mengecam kehadiran ketenteraan AS di rantau itu dan menyifatkannya sebagai faktor yang meningkatkan ketegangan serta mengancam keselamatan serantau.
