DAP pegang prinsip penyandang bertanding

JOHOR BAHRU 5 Ogos – DAP berpegang kepada prinsip parti penyandang kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini kekal bertanding jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, berkata prinsip itu sama seperti ketika pilihan raya kecil Pulai dan Simpang Jeram, dan juga dalam PRK-PRK yang lain.

Katanya, DAP berpegang kepada amalan lazim Pakatan Harapan (PH) bahawa penentuan serta pelantikan calon dan pembahagian kerusi ditentukan oleh pucuk pimpinan parti  komponen secara musyawarah.

“Biarlah kepimpinan membuat keputusan tanpa sebarang spekulasi serta tanpa mana-mana pihak membuat tuntutan terbuka di media massa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata rundingan kerusi akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PH dan Barisan Nasional, dan DAP Johor akan menghormati keputusan yang bakal dibuat.

Terdahulu, Amanah Kluang mendesak parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota, yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Ketuanya, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata, ia berikutan Amanah pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada PRU14 dan turut bertanding kerusi itu pada PRN 2022.

Dalam reaksinya, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyifatkan tindakan Amanah itu, sebagai gelojoh dan tamak, selain dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga serta waris mantan ADUN Mahkota, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang baru meninggal dunia.

Nnn

Related posts

Leave a Comment