Bersatu hantar notis kepada Speaker Parlimen

KUALA LUMPUR 20 Jun –  Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dikosongkan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Whip Bersatu yang juga Naib Presiden,  Dr Ronald Kiandee, selepas merujuk Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, di mana keahlian parti enam wakil rakyat Bersatu itu terhenti secara serta-merta.

Katanya, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.

“Notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang terhenti keahliannya secara serta-merta sudah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi pihak parti, semua Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi Parlimen Jeli; Gua Musang; Bukit Gantang; Kuala Kangsar; Tanjong Karang dan Labuan sudah ditandatangani oleh saya selaku Ketua Whip Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang),  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang),  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan  Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik ‘adalah muktamad dan konklusif’.

“Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen berkenaan kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan,” katanya.

Ronald berkata, semua sedia maklum, semalam suatu precedent atau duluan kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri juga sudah diumumkan Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah.

Untuk rekod, Dewan Rakyat akan bersidang selama 15 hari bermula 24 Jun hingga 18 Julai.

Related posts

Leave a Comment