Hasina letak jawatan, tinggalkan Bangladesh

DHAKA 5 Ogos –  Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina meletak jawatan hari ini dan melarikan diri ke luar negara susulan keganasan terburuk sejak kelahiran negara Asia Selatan itu lebih lima dekad lalu.

Panglima tentera Jeneral Waker-Us-Zaman dalam ucapan di televisyen berkata, Hasina 76, telah meninggalkan negara itu dan kerajaan sementara akan dibentuk.

Menurut satu sunber, Hasina “ingin merakamkan ucapan, tetapi tidak mendapat peluang untuk melakukannya.”

Akhbar Prothom Alo pula melaporkan Hasina melarikan diri dari ibu negara manakala video sebuah helikopter didakwa membawa Hasina juga tular dalam media sosial, menyatakan wanita itu terbang ke ‘tempat selamat’ pada pukul 2.25 petang (waktu tempatan).

Video itu mendakwa beliau meninggalkan negara itu dengan helikopter tentera bersama kakaknya dan difahamkan menuju ke negeri Benggala Barat di timur India di seberang sempadan.

Manakala satu  lagi laporan berkata, beliau menuju ke negeri timur laut Tripura di India.

Dalam pada itu visual disiarkan saluran TV Bangladesh menunjukkan penunjuk perasaan menyerbu istana Hasina, menterbalikkan perabot, memecahkan pintu kaca dan membawa buku serta barangan lain.

Perhimpunan yang bermula bulan lalu pada awalnya menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam.

Ia kemudian merebak ke seluruh negara, menjadi pergolakan terburuk dalam pemerintahan Hasina selama 15 tahun.

Pergerakan anti-kerajaan itu telah menarik orang dari seluruh masyarakat di negara Asia Selatan yang mempunyai kira-kira 170 juta orang, termasuk bintang filem, pemuzik dan penyanyi.

Hasina memerintah Bangladesh sejak 2009 dan memenangi pilihan raya keempat berturut-turut pada Januari selepas pengundian tanpa pembangkang yang tulen.

Kerajaannya dituduh menyalahgunakan institusi negara untuk mengukuhkan kuasanya dan menghapuskan perbezaan pendapat, termasuk melalui pembunuhan di luar undang-undang.

Demonstrasi bermula berhubung pengenalan semula skim kuota yang mengkhaskan lebih separuh daripada semua pekerjaan kerajaan untuk kumpulan tertentu.

Protes telah meningkat walaupun skim itu telah dikurangkan oleh mahkamah tertinggi Bangladesh.

Related posts

Leave a Comment