JOHOR BAHRU 5 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor kesal dengan sikap gelojoh dan tamak yang ditunjukkan oleh Amanah Kluang berhubung tuntutan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, Amanah langsung tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, mantan ADUN Mahkota yang baharu meninggal dunia.
“Sikap gelojoh dan sifat tamak yang dipamerkan pimpinan Amanah Kawasan Kluang hanya menzahirkan kiblat kuasa, tanpa meletakkan sempadan nilai simpati dalam amalan mereka berpolitik.
Seharusnya pimpinan Amanah menunjukkan contoh dengan menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarhamah dengan tidak secara terbuka membuat desakan secara tergopoh-gapah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sikap gelojoh dan sifat tamak bukanlah nilai-nilai yang wajar untuk disemai dalam kalangan rakan-rakan, dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan semua parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.
Noor Azleen mengulas kenyataan Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, yang menuntut supaya Amanah diberi peluang untuk bertanding di kawasan itu pada PRK akan datang susulan kekosongan akibat kematian.
Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pernah memenangi kerusi itu sebelum tewas kepada calon BN-UMNO pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.
Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, keutamaan untuk memanfaatkan platform dalaman secara bermesyuarah adalah lebih afdal.
“Kesepakatan semua pimpinan di setiap peringkat Kerajaan Perpaduan seharusnya menjadi asas dalam usaha kita sama-sama mendapat kepercayaan dan keyakinan seluruh rakyat,” katanya.
Nnn
