JOHOR BAHRU 5 Ogos – Amanah Kluang menuntut untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, yang sebelum ini dimenangi calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO.
Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata ia berikutan parti itu pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 2022.
Katanya ,analisis yang dibuat merujuk data PRU15, Amanah Kluang amat yakin calon Pakatan Harapan (PH) jika diletakkan di DUN Mahkota boleh menang dengan selesa.
“Oleh yang demikian, Amanah Kluang mendesak supaya calon parti ini diletakkan mewakili PH dan Kerajaan Perpaduan di DUN Mahkota dan pucuk pimpinan kerajaan Perpaduan haruslah segera mencari titik penyelesaian terhadap isu ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kenyataan terbuka UMNO Kluang yang tidak mahu bekerjasama dengan satu daripada komponen PH baru-baru ini juga sangat mengguris hati akar umbi sekali gus membuka ruang musuh memecah belahkan hubungan PH dan BN.
“Kerajaan Johor hari ini bukan Kerajaan Perpaduan seperti diamalkan Persekutuan dan beberapa negeri lain. Walaupun hubungan mesra, namun PH Johor tidak diberi peranan langsung dalam kerajaan negeri.
Kami menganggap UMNO yang dominan dalam Kerajaan Johor tidak serius dalam menjalinkan perpaduan dengan PH di negeri ini, malah membuat kenyataan secara terbuka mahu merampas beberapa kerusi yang disandang Amanah di Johor,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini, untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.
Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.
Beliau menewaskan calon PH dari Amanah, Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.
Pada PRU14 pula, calon Amanah yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 1,668.
Beliau yang memperoleh 19,507 undi menewaskan calon BN, Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon Pas, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.
Mohd Zuhan berkata, Amanah Kluang sudah menyenarai pendek beberapa nama untuk dikemukakan kepada Amanah Johor dan Pusat tetapi pasa masa sama akur dengan ketetapan pucuk pimpinan PH berhubung calon yang akan diturunkan.
Nnn
