SEPANG 9 Okt. – Pengerusi MARA, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menjelaskan beliau tidak pernah menyatakan pendekatan memilih bekas anggota tentera atau polis sebagai warden asrama sepenuh masa adalah yang terbaik.
Sebaliknya, pemilihan itu adalah keperluan mendesak bagi menangani insiden buli yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini serta melihat keberkesanannya terutama ketika guru MRSM berdepan kekangan melaksanakan tugas berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas diterimanya dan hasil lawatan mengejut ke MRSM, ramai guru mengadu terbeban untuk berjaga selepas pukul 12 tengah malam untuk membuat rondaan kerana perlu hadir ke kelas seawal 6.30 pagi keesokannya.
“Aktiviti tidak bermoral, seperti buli lazimnya tidak berlaku sebelum jam 12 tengah malam atau waktu akademik dan sebab itu ketiadaan warden yang memantau secara berterusan pada waktu berisiko seperti ini membuka ruang untuk buli berlaku.
Elaun yang kecil, sekadar RM300 tambahan sebagai warden tidak berbaloi dengan tanggungjawab tambahan yang terpaksa digalas oleh guru.
Lebih berkesan jika warden yang bertugas sepenuh masa di asrama dilantik untuk memfokuskan pembangunan disiplin dan sahsiah pelajar di luar waktu akademik bermula jam 6 petang atau 7 malam,” kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.
MRSM pada Ogos lalu memulakan projek rintis menempatkan warden bekas tentera di asrama pelajar sebagai inisiatif penting menangani keganasan dan buli di institusi itu.
Projek rintis berkenaan dilaksanakan selama enam bulan di MRSM Balik Pulau dan MRSM Besut, selepas Asyraf Wajdi mengemukakan cadangan itu pada April.
Asyraf bagaimanapun berkata, adalah terlalu awal untuk beliau mengulas keberkesanan pelantikan warden dalam kalangan bekas tentera atau pasukan beruniform lain.
“Biarlah program rintis yang sedang berjalan dan masuk bulan ketiga di beberapa MRSM ini selesai dalam tempoh enam bulan tempoh penilaian dan selepas itu, pasukan penyelidik yang menjadi pihak ketiga serta bebas dari Universiti Putra Malaysia (UPM) akan membuat penilaian dan penyelidikan mengenai inisiatif MARA ini.
“Insya-Allah, saya pasti akan kongsikan dapatan kajian, sama ada positif mahu pun negatif untuk diangkat kepada Timbalan Perdana Menteri (Dr Ahmad Zahid Hamidi) merangkap menteri yang bertanggungjawab ke atas MARA untuk membuat keputusan, sekali gus berkongsi dapatan ini dengan Jemaah Menteri,” katanya.
Nnnn
