IPOH 2 Ogos – Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) tampil memohon maaf, terutamanya kepada umat Islam susulan kontroversi berhubung isu tular klip video mengenai lawatan anjuran jabatan itu ke sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, JAIPk berkata sebagai di antara jabatan yang diberi amanah mengurus hal ehwal dan kepentingan agama Islam, ia tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip-prinsip maqasid syariah yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Perak.
“Jabatan ini memohon maaf kepada semua pihak terutamanya umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan penganjuran kursus serta kenyataan peserta berkenaan sehingga menimbulkan salah faham selain menjejaskan nama baik kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama,” kata JAIPk.
JAIPk juga menjelaskan, wanita yang dikaitkan dengan kemelut isu yang tular itu bukan pegawai atau kakitangan jabatan itu seperti didakwa, sebaliknya seorang peserta yang mengikuti kursus berkenaan secara sukarela.
Justeru , pihaknya kesal dengan polemik yang timbul berikutan penyebaran klip video mengenai program terbabit yang diadakan pada 30 Julai lalu.
Katanya, lawatan yang dikendalikan Global Unity Network (UNITY) dengan kerjasama JAIPk itu diadakan secara tertutup membabitkan 32 orang peserta terpilih dari seluruh Perak.
Menurutnya, semua peserta itu sedang mengikuti lima kursus dakwah di bawah JAIPk yang bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah dan lawatan itu adalah antara satu daripada modul kursus terbabit.
“Lawatan berkenaan adalah sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan pesertanya dalam menyampaikan dakwah, terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam termasuk kebencian akibat sentimen Islamphobia.
“Bagaimanapun, lawatan itu bertukar menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan salah seorang peserta wanita yang kemudiannya menimbulkan salah faham sehingga mengundang perdebatan hangat di laman media sosial.
JAIPk juga mengambil maklum mengenai arahan dan beberapa ketetapan yang dibuat kerajaan Perak selepas mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, supaya isu itu ditangani segera bagi mengelakkan ia terus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
Kata kenyataan itu, bagi mencegah kontroversi seumpamanya berulang, JAIPk akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus berkenaan, selain menetapkan garis panduan khusus kepada peserta yang menyertai program dakwah yang dianjurkan jabatan itu pada masa hadapan.
“JAIPk juga akan berbincang dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa agama Islam lain termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah yang lebih sesuai,” katanya.
Nnnn