Pengerusi DAP Melaka letak jawatan

MELAKA 21 Nov. – Atas dasar bertanggungjawab terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew mengumumkan peletakan jawatannya selepas parti itu hanya menang empat daripada lapan kerusi yang ditandingi.

Beliau yang meminta maaf kepada ahli DAP, berkata surat peletakan jawatan akan diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng esok.

“Ini adalah keputusan peribadi saya dan saya mahu memohon maaf kepada ahli DAP, rakan seperjuangan DAP dan penyokong kerana tidak mencapai sasaran yang diharapkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

DAP bukan sahaja gagal membantu PH membentuk kerajaan negeri yang baru, malah lapan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum 2018 telah berkurangan kepada empat.

Tey berkata walaupun meletak jawatan, beliau kekal sebagai ahli DAP dan berharap ahli lain terus memberi sokongan terhadap perjuangan parti itu di Melaka. 

Pada PRN Melaka semalam, DAP menang kerusi DUN Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Kok Kiew pula kecundang dalam saingan lima penjuru di kerusi DUN Bemban selepas ditewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Mohd Yadzil Yaakub yang memperolehi 4,211 undi.

Beliau hanya mampu meraih 3,095 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Koh Chin Han memperoleh 3,883 undi.

Dua lagi calon bebas iaitu Choong Koon dan Azmi Kamis masing masing hilang deposit mereka.

Related posts

Leave a Comment