RABU lalu, secara rasmi Malakat Mall ditutup. Jika 13 Mac 2020 tarikh keramat pembukaan rasminya tetapi 31 Julai 2024, Malakat Mall mengadakan majlis penutup rasmi dalam kalangan petugas pusat perniagaan itu.
Begitulah berakhirnya ‘pasar mesra Muslim’ yang melibatkan peniaga-peniaga Melayu Muslim yang cuba memperjuangkan kebangkitan ekonomi orang Islam.
Jika empat tahun lalu ruang bangunan itu diisi dengan groceries’ atau pasar runcit dan basah, restoran, kedai pakaian, hiasan rumah, buku dan alat tulis, barangan sukan, dan macam-macam lagi tetapi sejak beberapa hari lalu mula dikosongkan.
Namun jangan salah faham. Untuk makluman nama Malakat itu sahaja sudah ‘terpadam’ tetapi masih ada yang menjalankan perniagaan di Mall, Centrus Cyberjaya itu. Pelanggan tetap boleh semak apa yang masih ada di situ.
Contohnya IMIKA masih lagi beroperasi seperti biasa. Mereka tidak pindah. Khabarnya beberapa vendor masih kekal di situ. Jika tidak silap Aura Design, Sani Tailor! Ghafur Art Gallery, Tenun, D’Sarang.
Malakat Mall ditutup ketika jirannya yang lebih ‘senior’, pusat beli belah Dpulze terus mendapat sambutan ramai walaupun pusat beli-belah itu turut diuji semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.
Tidak dinafikan, membandingkan Malakat Mall dengan Dpulze ibarat langit dengan bumi. Kenapa begitu?
Dpulze ada kekuatan sendiri. Serba serbi boleh didapati di sana, berbanding di Malakat Mall. Mungkin itu salah satu faktornya. Namun realitinya, amat sukar untuk melihat pusat perniagaan yang diusahakan Melayu Muslim untuk bangkit setanding orang lain.
Kenapa begitu? Lihat sahaja kompleks niaga yang dibangunkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi menyediakan peluang perniagaan. Hidup segan mati tak mahu malahan ada yang terbiar sepi walaupun pelbagai usaha dilakukan.
Begitu juga Malakat Mall. Bezanya Malakat Mall berani menyewa sebuah mall yang perlu diisi dengan usahawan. Jika tidak akan terbiar lengang.
Di mana silapnya apabila hasrat menyatukan kuasa ekonomi umat Islam secara berpusat hanya mampu bertahan selama empat tahun? Adakah kerana fokusnya kepada utamakan barangan orang Islam atau ‘Buy Muslim First (BMF)?
Ada yang kata wujud sentimen kaum. Semua barang yang dijual hasil keluaran orang Islam dan pembelinya pula hanya orang Islam, bukan pelbagai kaum.
Lokasi? Mustahil orang tidak tahu di mana Malakat Mall. Kita sekarang di zaman telefon pintar yang boleh membawa kita ke mana sahaja. Justeru, isu lokasi amat remeh. Apatah lagi Malakat Mall terletak di kawasan perniagaan.
Pihak Malakat Mall tentu ada jawapannya di mana silap sehingga tidak mampu menarik kehadiran pengunjung untuk berbelanja di situ.
Apa pun, hasrat dan impian awal Malakat Mall amat besar. Dilaporkan sebelum ini, pengasasnya Mohd Fadzil Hashim menyasarkan untuk membuka 5,000 Malakat Grocer 812 (dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 12 malam) menjelang 2030 bertujuan menyatukan kuasa ekonomi umat Islam secara berpusat.
Sasaran itu menurut beliau boleh dicapai melalui caruman RM100 sebulan oleh sejuta ahli yang berdaftar dengan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).
Matlamat pembukaan 100 Malakat Mall dan 5,000 cawangan Malakat Grocer 812 itu bertujuan merealisasikan penguasaan 20 peratus ekonomi umat Islam di negara ini. Keyakinan itu bersandarkan usaha mewujud dan memperluaskan perniagaan pasar raya serta menyediakan peluang kepada usahawan Islam.
Begitulah hasrat dan harapan pengasas Malakat Mall. Bermula dengan keyakinan tetapi kini tinggal harapan. Mungkin bagi mereka yang pernah menasihatkannya supaya tidak membuka Malakat Mall, akan berkata, nasihat awal itu betul.
Mengikut rekod, pada empat hari pertama pembukaan, sebanyak 6,000 orang mengunjungi Malakat Mall setiap hari. Pada hari kelima dan seterusnya , Malakat Mall menerima kesan akibat PKP.
Bagaimanapun menyalahkan PKP juga masih belum kukuh. Semua orang merasainya tetapi ada yang mampu bertemu. Ketika PKP, Malakat Mall mempertahankan pekerjanya. Tidak ada yang dibuang kerja.
Malakat Mall ditutup bukan kerana masyarakat Islam memboikot seperti dilakukan terhadap premis atau jenama tertentu sebelum ini. Maknanya kuasa membeli masyarakat Islam tinggi. Jika mereka boikot, kesannya akan dirasai.
Tanpa menolak faktor lain, mungkinkah penutupan Malakat Mall sedikit sebanyak terletak kepada masyarakat Melayu Islam itu sendiri? Maksudnya ‘cinta’ sesama kita masih terlalu lemah dalam menyokong perniagaan rakan seagama kita. Pelbagai alasan disenaraikan.
Dalam industri surat khabar contohnya, banyak akhbar Cina mampu bertahan walaupun bilangan akhbar itu banyak tetapi akhbar Melayu hidup segan mati tak mahu dan ada yang akhirnya terpaksa tutup atau gulung tikar.
Walaupun Malakat Mall ditutup secara fizikal, tetapi pengguna masih boleh mendapatkan barangan melalui platform online. Manakala kedai makan berpindah lokasi ke Jpod Cyberjaya.
Bagi Mohd Fadzil, penutupan Malakat Mall bukan bermakna menyerah kalah. Mereka sudah melakukan yang terbaik. Sekurang-kurangnya ada usahawan yang berjaya. Semoga Malakat Mall akan kembali semula dengan strategi yang lebih baik dan tersusun bagi menghadapi cabaran dunia perniagaan seumpama ini.
Nnnn