PUTRAJAYA 2 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius pengambilan gula yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun jumlah prevalen diabetes turun iaitu 15.6 peratus berbanding 18.3 peratus pada tahun 2019.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun terdapat penurunan, Malaysia masih tersenarai antara negara dengan prevalen tertinggi di Asia Tenggara bersamaan nisbah satu daripada enam rakyat Malaysia menghidap diabetes.
Susulan itu, KKM mengambil pelbagai pendekatan untuk mengukuhkan lagi langkah bagi membendung masalah ini melalui Perang Terhadap Gula atau ‘War on Sugar’.
Menurut Dr Dzulkefly, Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030 dibangunkan dan dilancarkan pada 29 Jun lalu.
Pelan ini mengandungi enam strategi utama dengan 38 inisiatif dan 65 aktiviti yang merangkumi dasar, advokasi dan kerjasama sektor awam dan swasta melalui pendekatan masyarakat dan negara yang menyeluruh.
Dr Dzulkefly berkata, bagi menggalakkan pihak industri makanan dan minuman untuk mereformulasi produk kepada yang lebih sihat, KKM melaksanakan Healthier Choice Logo (HCL) pada tahun 2017 dan pengenaan cukai ke atas minuman manis bergula (SSB) sejak Julai 2019.
“Usaha mengurangkan pengambilan gula ini diteruskan dengan pelaksanaan Kempen ‘1 Sudu Teh Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada TERBAIK!’ yang menumpukan kepada penyediaan minuman di kafetaria, restoran dan kedai makan di seluruh negara.
“KKM juga terus mempergiatkan program dalam komuniti untuk mengurangkan pengambilan gula harian dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pada tahun lalu, KKM turut menjalankan saringan kepada 64,846 individu di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) melalui KOSPEN WOW di tempat kerja dan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) dalam komuniti,” katanya.
Langkah lain yang diambil oleh KKM termasuklah dengan menubuhkan 33 Wellness Hub di seluruh negara bagi meningkatkan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti secara bersasar dalam pembudayaan hidup sihat.
Ia termasuklah mengurangkan pengambilan gula, dengan jumlah sebanyak 765,843 individu sudah mendapatkan perkhidmatan berkenaan antara tahun 2020-2023.
Usaha ini turut dikukuhkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang turut melancarkan Kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’.
Larangan penjualan makanan dan minuman tinggi gula seperti minuman berperisa, minuman dibancuh dengan kordial dan minuman berkarbonat turut diperluaskan ke seluruh kawasan sekolah termasuk kantin di samping menggalakkan sekolah menyediakan sumber air kosong.
Perkara yang sama juga diterapkan semasa mesyuarat melalui pelaksanaan Penyajian Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan swasta.
KKM menyeru semua pihak dari agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk sektor swasta dan semua rakyat Malaysia untuk berganding bahu bagi
memerangi pengambilan gula berlebihan.
Nnn
