SINGAPURA – Walaupun hujan diramalkan di beberapa kawasan Singapura pada hari ini, Selasa, Singapura masih berisiko terjejas oleh jerebu disebabkan angin dijangka bertiup dari arah timur atau tenggara.
Setakat pagi ini, mutu udara di kawasan tengah, selatan, barat dan timur Singapura mencatat paras tidak sihat manakala kawasan utara turut melepasi paras tersebut.
Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), setakat 7 pagi Selasa, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masing-masing ialah 155 di kawasan tengah, 101 di utara, 129 di selatan, 139 di barat dan 128 di timur.
Bacaan IPU sejak beberapa minggu lalu, beberapa kali naik dan turun antara paras sederhana dan tidak sihat.
Dalam kenyataan media terbaharunya pada petang Isnin, NEA menyatakan bacaan IPU 24 jam dijangka berada antara paras sederhana yang tinggi hingga paras tidak sihat sederhana bagi tempoh 24 jam berikutnya.
Menurut NEA, jerebu pada tahap sederhana hingga tebal akibat kebakaran di selatan Sumatera dan Kalimantan dibawa angin ke Singapura.
Bacaan IPU 24 jam antara 101 hingga 200 dianggap “tidak sihat”, 201 hingga 300 “sangat tidak sihat”, manakala bacaan melebihi 300 dianggap “berbahaya”.
NNN
