KUANTAN 30 Julai – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak akan teragak-agak untuk menarik semula darjah kebesaran yang dikurniakan sekiranya terdapat salah laku yang menjejaskan nama baik institusi beraja dan negara dalam kalangan penerima.
Titah baginda, setiap pingat yang diterima bukanlah sekadar penghargaan tetapi juga satu amanah dan pada masa yang sama mengingatkan penerima supaya tidak menjadikan anugerah dunia ini sebagai asbab keangkuhan dan besar diri.
“Beta ingin ingatkan juga di sini beta tidak sesekali berkompromi dan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula darjah kebesaran yang telah dikurniakan sekiranya terdapat salah laku yang menjejaskan nama baik institusi beraja dan negara dalam kalangan penerima,” titah baginda.
Bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, di sini hari ini, baginda turut mentucapkan tahniah kepada penerima-penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tahun ini.
“Di samping itu, beta juga ingin menegaskan penghargaan ini juga membawa tanggungjawab yang besar, ia memerlukan kalian semua untuk terus berusaha dalam menjaga nilai-nilai kesetiaan, kehormatan dan keadilan dalam setiap tindakan,” titah baginda.
Pada istiadat itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran.
Sultan Pahang berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) kepada Tunku Azizah bersama lapan lagi penerima.
Turut dikurniakan darjah kebesaran SAAS ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bersempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, baginda berdoa semoga Allah SWT terus melimpahi bumi yang tercinta ini dengan keamanan dan kesejahteraan yang berkekalan.
“Semoga negeri Pahang bersama rakyat yang beta kasihi akan terus hidup dengan penuh keberkatan dan sentiasa berada dalam perlindungan serta kerahmatan Allah SWT,” titah baginda.
