KUANTAN 30 Julai – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan tanah di Pahang mula `dijajah’ pendatang asing secara terang-terangan berikutan kurangnya nilai integriti.
Baginda bertitah, sebagai contoh tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing.
“Demi hanya mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya,” titah baginda.
Menurut baginda, apa yang lebih mendukacitakan lagi warga asing mengambil alih peranan sebagai `tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan.
“Oleh itu, beta mahu kerajaan beta memantau aktiviti ini dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan aktiviti seperti ini tidak lagi berlaku. Tiada kompromi terhadap isu seperti ini daripada beta.
Jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara. Laksanakanlah amanah dengan penuh integriti dan ingatlah! setiap kerja buat dan tanggungjawab kita akan dipersoalkan kelak,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, di sini hari ini.
Di samping itu, baginda menggesa rakyat bekerjasama memberi maklumat kepada pihak berkuasa mengenai segala bentuk jenayah dan salah laku kerana ia adalah tanggungjawab bersama.
“Beta juga ingin kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengkaji dengan mendalam mengenai rancangan pembangunan di Cameron Highlands, khususnya pembangunan pada masa akan datang.
“Hanya dengan pendekatan yang holistik, tegas dan lestari akan dapat menyelamatkan tanah tinggi berkenaan daripada segala bentuk kerakusan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” titahnya.
