UGUT mengugut dalam parti politik adalah satu perkara biasa. Kadang-kadang ‘ugutan’ itu ada muslihat tertentu demi kepentingan puak atau kumpulan masyarakat yang diwakili. Dalam erti kata lain ia sekadar ‘lakonan’.
Apa pun dalam gabungan parti politik, persefahaman amat penting. Justeru sebarang kenyataan tidak boleh diambil mudah walaupun jika ada muslihat tertentu. Esok lusa tarik balik dan keadaan menjadi reda. Lain kali ugut lagi!
Terkini yang menarik perhatian pemerhati politik adalah apa yang berlaku dalam kelurga Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Bersatu, Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia atau Malaysian Indian People’s Party (MIPP).
Susulan pendirian Gerakan berhubung isu sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan rasa kecewa dan tidak menolak kemungkinan tidak bersama Gerakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sebagai rekasi balas terhadap kenyataan Ahmad Fadhli itu, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong tampil menyatakan Gerakan tidak teragak-agak keluar daripada PN.
Dan kenyataan itu disambut pula oleh Naib Presiden Pas Mohd Amar Abdullah bahawa Pas tiada halangan jika Gerakan mengambil keputusan keluar daripada PN susulan perbezaan pendapat berhubung kontroversi dana sekolah Cina.
“Kalau Gerakan rasa dia tak selesa dengan PN, dia boleh buat keputusan untuk keluar tak ada masalah kerana ini negara demokrasi, terserah,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Tong Keong dilaporkan berkata, Gerakan kekal teguh menyokong dan mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman yang tidak munasabah daripada sekutunya dalam gabungan itu.
“Sama seperti Gerakan pernah berundur daripada Barisan Nasional (BN) untuk menentang rasuah dan salah guna kuasa, kami tidak akan teragak-agak keluar (PN) jika sekutu kami (dalam gabungan) terus mempamerkan ekstremisme agama dan melanggar hak orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.
Menyelak kembali kedudukan Gerakan, parti komponen BN suatu masa dulu itu meninggalkan rakan-rakan UMNO, MCA dan MIC pada 23 Jun 2018 selepas BN kalah teruk pada PRU 14 dan gagal membentuk kerajaan.
Gerakan ketika itu mengumumkan keluar BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif selepas perbincangan, penelitian dan pertimbangan yang menyeluruh dan serius terhadap perkembangan politik semasa pasca PRU-14.
“Sentimen dan maklum balas daripada akar umbi juga diambil kira dalam keputusan ini, pemilihan parti di peringkat cawangan sedang berlangsung di seluruh negara. Ia selaras dengan matlamat kami untuk menyatukan parti dan ahli,” katanya.
Pada 11 Februari 2021, Gerakan diterima menjadi parti politik terbaharu menyertai gabungan PN bersama Bersatu dan Pas. Dan pada 22 November 2021 Presidennya, Dr Dominic Lau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.
Dan selepas tiga tahun, Gerakan yang hanya ada satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di N35 Kulim bersuara untuk meninggalkan PN hanya kerana mahu mempertahankan dana syarikat arak kepada sekolah Cina.
Hakikatnya dalam mendepani isu-isu halal haram bagi umat Islam, contohnya seperti arak dan judi, Gerakan tidak mampu bersama Pas jika gagal bertolak ansur dalam mendepani isu-isu berkenaan. Ini bukan kali pertama Pas-Gerakan ‘bertelagah’ .
Justeru menjelang PRU akan datang, Gerakan perlu membuat keputusan sama ada mahu kekal bersama PN atau mencari ‘dahan’ baharu untuk bergantung. Apakah ‘dahan’ atau pilihan gabungan baharu itu? Pakatan Harapan (PH) atau solo – Satu Hati seperti lagu parti itu?
Situasi yang berlaku seperti sekarang hanya menjejaskan fokus parti khususnya rakan-rakan dalam PN iaitu Pas dan Bersatu dalam melangkah memasuki PRU dengan penuh keyakinan.
PN tidak rugi apa-apa jika Gerakan mengambil keputusan untuk meninggalkan gabungab itu kerana berdasarkan keputusan PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, Gerakan tidak membantu menyumbangkan kerusi Parlimen atau DUN.
DUN N35 Kulim, Kedah pula yang dimenangi adalah majoriti pengundinya orang Melayu.
Gerakan harus sedar mereka mula hilang sokongan rakyat sejak PRU12 iaitu pada tahun 2008 dan sejak itu tidak mampu bangkit lagi.
Masih ingatkah Gerakan apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pernah menjadikan Gerakan sebagai contoh parti yang hilang keupayaan untuk memenangi pilihan raya dan mengingatkan DAP tidak seperti itu.
Walaupun ketika itu tidak menyebut mana-mana parti, Loke dipercayai merujuk kepada Gerakan apabila mengatakan parti berkenaan “pernah menjadi kerajaan negeri Pulau Pinang”.
“Jangan jadi seperti satu parti yang pernah jadi kerajaan negeri di Penang. Lihat mereka hari ini. Tak ada keupayaan menang lagi pilihan raya. Nak jadi perwakilan di parlimen, bergantung kepada ihsan orang lain.
Itu parti tak ada maruah lagi. Lebih baik dibubarkan kalau sampai macam itu,” katanya dalam ucapan pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang pada Mac tahun lalu.
Untuk rekod, Gerakan menguasai Pulau Pinang selama 39 tahun sejak 1969 dan menyertai BN sebagai parti komponennya selepas 1974.
Bagaimanapun, pada pilihan raya umum (PRU) 2008, parti itu mengalami kekalahan paling teruk dalam pilihan raya, termasuk kehilangan Pulau Mutiara itu kepada DAP – parti komponen gabungan Pakatan Rakyat ketika itu.
Daripada 12 kawasan Parlimen dan 31 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada Gerakan oleh BN, Gerakan kehilangan semua kerusi di Pulau Pinang dan hanya mempertahankan dua kerusi Parlimen di Gerik dan Simpang Renggam.
Dan sejak itu Gerakan tidak mampu bangkit lagi !