PUTRAJAYA 30 Julai – Sebanyak RM100 juta peruntukan tambahan disediakan bagi meningkatkan fasiliti keselamatan di sempadan Kedah, Perlis dan Kelantan dalam usaha kerajaan menangani pelbagai isu dan jenayah rentas sempadan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu seiring komitmen Malaysia dan Thailand membangunkan kawasan bagi merancakkan ekonomi di utara Semenanjung dan selatan Thailand.
Beliau yang juga Menteri Kewangan juga memaklumkan, akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin pada 3 Ogos ini bagi membincangkan isu keselamatan negara dan merancakkan ekonomi dua wilayah itu.
Pertemuan yang akan berlangsung di Sungai Golok dan Rantau Panjang akan membincangkan soal keselamatan sempadan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Beliau juga meminta supaya pembelian aset-aset keselamatan dibuat dengan cara yang lebih tersusun, supaya tatakelola dan tadbir urus perolehannya berintegriti serta menjimatkan kos kerajaan.
“Cara perolehan itu juga harus bertanggungjawab kerana pengalaman kita, bukan saja soal tentera, polis dan pasukan lain, kadang-kadang perolehan itu untuk menjamin keselamatan, itu kita setuju.
“Tapi cara membeli menyebabkan terlalu banyak ketirisan, ini mesti dihentikan. Bila bicara, jaminan keselamatan. Tapi bila ambil tindakan, kepentingan dan keuntungan peribadi. Inilah perangai yang merosakkan kepentingan negara,” katanya.
Sebab itu, beliau berkata, tidak ada pilihan jika semua pihak mahu menumpukan usaha untuk mempertahankan keselamatan negara, maka dari peringkat awal termasuk perolehan ia harus dilaksana dengan penuh tanggungjawab.
Anwar berkata, beliau sering memperingatkan bahawa soal menjamin keselamatan negara menjadi tanggungjawab bersama bukan saja kerajaan, khususnya penjawat awam, tetapi juga rakyat.
“Soal keselamatan, jenayah siber ini harus diberi keutamaan kerana ini jalan yang selamat untuk (menjamin keselamatan) masa depan negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pendekatan Kerajaan Perpaduan dalam menjamin keselamatan juga membuahkan hasil apabila negara melonjak sembilan anak tangga dalam Global Peace Index 2024 untuk berada dalam kelompok 10 negara paling selamat di dunia.
“Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) juga menunjukkan skor IKK bagi 2023 ialah 1.48 iaitu satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.
Nnn
