Kenaikan membimbangkan

PUTRAJAYA 8 Mei – Trend kenaikan mendadak kes Covid-19 di negara ini adalah membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) khuatir situasi seperti di India juga boleh berlaku di Malaysia sekiranya tindakan drastik tidak dilaksanakan segera.

Justeru katanya, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada situasi Covid-19 di India di mana kes meningkat setiap hari sehingga melumpuhkan sistem kesihatan di negara tersebut.

Begitu juga situasi beberapa negara lain yang perlu dielakkan daripada berlaku di dalam negara.

“Sehingga tengah hari tadi, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 436,944 kes. Mengikut unjuran nilai Rt semasa iaitu 1.10, dianggarkan kes akan mencapai 5,000 kes sehari dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang.

“Bagaimanapun, jumlah kes harian yang dilaporkan untuk dua hari berturut-turut (semalam dan hari ini) kini menghampiri 5,000 kes. Oleh itu, KKM sentiasa dan akan terus menjalankan tindakan kesiapsagaan di lapangan termasuk tindakan kesihatan awam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata KKM sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti di hospital agar kes-kes positif yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan juga ICU dapat dilaksanakan sewajarnya. 

Related posts

Leave a Comment