KDN teliti KL bandar kelima paling bahaya

PUTRAJAYA 23 Julai –  Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melihat ‘kayu ukur’ Forbes Advisor yang menyenaraikan Kuala Lumpur di kedudukan kelima sebagai bandar raya paling bahaya di Asia Tenggara untuk dilawati.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata KDN akan meneliti laporan itu yang bertentangan dengan Indeks Keamanan Global 2024 (GPI).

Katanya, GPI 2024 menunjukkan Malaysia berada di tempat ke-10 antara negara paling aman di dunia dan tersenarai sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia Pasifik berbanding laporan platform Forbes Advisor.

“Kayu pengukur Global Peace Indeks jelas, saya belum baca kayu ukur Forbes (Advisor), saya tidak kata saya nafikan tapi belum baca, tetapi meneliti kayu ukur yang diguna pakai oleh GPI.

“Misalnya ada demonstrasi kejam yang menyebabkan kematian nyawa dan nilai persepsi terhadap penjenayah di negara ini, ada berpuluh kayu pengukur termasuk peruntukan per kapita termasuk keselamatan yang sangat komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Forbes Advisor dalam laporannya menyenaraikan Kuala Lumpur antara bandar yang paling bahaya di Asia Tenggara untuk dilawati berdasarkan perbandingan yang dilakukan membabitkan insurans perjalanan untuk rakyat Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan laporan itu, Kuala Lumpur berada pada kedudukan kelima manakala Yangon, Myanmar berada di tempat pertama diikuti Manila, Filipina (tempat kedua), Jakarta, Indonesia (tempat ketiga) dan Ho Chi Minh City, Vietnam (tempat keempat).

Saiffuddin berkata, biar apa pun analisis yang dilakukan platform terbabit, KDN dan Polis Diraja Malaysia komited memastikan keamanan serta ketenteraman awam terjamin dan menjadi tanggungjawab utama.

Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin berkata, KDN akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat berhubung isu pelacuran yang dikatakan menjadi lubuk di ibu negara.

Jelasnya, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf.

Nnn

Related posts

Leave a Comment