Jenayah kekejaman paling jarang ditemukan

PUTRAJAYA 23 Julai – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menyifatkan kes pembunuhan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.

Justeru Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menegaskan mahkamah tidak akan bertoleransi dalam kejadian sebegini.

Hadhariah yang mempengerusikan panel tiga hakim bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin berkata kejadian itu berpunca daripada perbuatan tertuduh pertama hingga keenam.

Tertuduh Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali adalah bekas penuntut UPNM.

Hadhariah berkata, mahkamah bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh itu dilakukan bukan sahaja mengejutkan hati nurani kehakiman tetapi juga hati nurani masyarakat.

Beliau yang membacakan alasan penghakiman bertulis 93 muka surat dalam tempoh lebih tiga jam, berkata perbuatan sebegitu paling jarang ditemui daripada kes yang pernah berlaku membabitkan jenayah kekejaman yang amat berbahaya kepada masyarakat dan perbuatan sebegini harus dihentikan.

“Mahkamah tidak akan bertoleransi dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana tidak berasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat simati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati. Benar kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancur dan luluh hati dan perasaan mereka apabila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh ini seolah-olah tubuh badan simati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini, ” katanya.

Hakim itu berkata, oleh itu mahkamah sebulat suara memutuskan bahawa hanya satu hukuman yang wajar dijatuhkan terhadap tertuduh yang mana mereka hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Katanya, mahkamah memutuskan rayuan pendakwaan terhadap hukuman 18 tahun penjara yang dikenakan Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati, manakala rayuan balas tertuduh terhadap hukuman ditolak.

Beliau berkata, di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 16 Mac 2023, hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan bunuh ialah hujuman gantung sampai mati atau hukuman penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Bagaimanapun dalam kes ini, Hadhariah berkata faktor-faktor yang memberatkan hukuman adalah si mati orang yang tidak bersalah dan perbuatan tertuduh pertama hingga ke lima cukup kejam.

“ Si mati diikat kaki dan tangan semasa mereka menekap seterika ke badan si mati dan sebelum diseterika, si mati telah pun dipukul beramai-ramai.

“Walaupun keenam-enam tertuduh nampak dan melihat si mati menggelupur kesakitan, mereka tutup mata, tidak peduli dan terus menekap seterika pada keseluruhan badan si mati (kecuali di bahagian muka) sehingga mengakibatkan 90 kesan lecur,” kata hakim.

Menurut hakim, selepas si mati diseksa dengan seterika panas, kesemua tertuduh menyembunyikannya untuk mengelak perbuatan jenayah mereka diketahui pihak atasan selain mereka tidak membawa si mati ke Hospital Serdang walaupun telah dinasihatkan oleh saksi pendakwaan ketujuh, pegawai perubatan Klinik As-Salam Bandar Baru Bangi Dr Azfar Hussin.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November 2021 mendapati semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.

Nnnm

Related posts

Leave a Comment