123 rakyat Malaysia tiba dari Bangladesh

SEPANG 23 Julai – Kumpulan 123 rakyat Malaysia yang dibawa balik dari Bangladesh susulan keadaan kacau bilau di negara itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini.

Penerbangan AirAsia AK76 itu tiba pada pukul 4.56 petang ini setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada pukul 11.23 pagi (1.23 tengah hari waktu Malaysia).

Menteri Luar, Mohamad Hassan sebelum ini memaklumkan seramai 192 rakyat Malaysia berada di negara itu, merangkumi 124 pelajar, 58 (bukan pelajar) dan keluarga petugas kedutaan (10).

Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka menyelaraskan proses membawa pulang rakyat Malaysia itu dengan kerjasama yang rapat daripada kerajaan Bangladesh.

Kementerian berkata, beberapa rakyat Malaysia memutuskan untuk kekal di Bangladesh, antaranya ialah pelajar tahun akhir dan rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

Katanya, mereka yang memilih untuk kekal disarankan untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu, dan Suruhanjaya itu sentiasa bersedia menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin.

Related posts

Leave a Comment