Singapura, Portugal vaksinasi kanak-kanak

SINGAPURA dan Portugal akan memulakan proses vaksinasi Covid-19 melibatkan kanak-kanak berumur lingkungan lima hingga 11 tahun sebelum akhir tahun ini bagi membendung penularan pandemik itu.

Kementerian Kesihatan (MoH) Singapura semalam (10 Disember) mengesahkan pemberian itu dipercepatkan sebelum akhir tahun ini susulan kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan kumpulan itu.

Dos yang digunakan untuk kanak-kanak adalah satu pertiga daripada dos yang digunakan pada orang dewasa, sama seperti di Amerika Syarikat.

Menurut MoH, pada masa ini, hanya vaksin Pfizer-BioNTech diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak di Singapura.

Singapura yang telah memberi vaksin kepada 87 peratus daripada 5.5 juta penduduknya juga telah menandatangani perjanjian pembekalan baharu dengan Pfizer-BioNTech untuk vaksin Covid-19.

Sementara itu Portugal akan memulakan pemberian vaksin itu pada 18 dan 19 Disember ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Antonio Lacerda Sales mengumumkan pada Jumaat, keutamaan akan diberikan kepada kumpulan umur tinggi dan diikuti dengan kumpulan umur paling muda.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, lebih 90 peratus daripada kumpulan umur 12 hingga 17 tahun telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Portugal dianggap negara contoh apabila hampir 90 peratus penduduknya yang layak menerima suntikan telah lengkap divaksin.

Walaupun jangkitan harian baharu negara telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tidak ada tekanan pada sistem kesihatannya.

Selasa lalu, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge berkata, ada kemungkinan kadar jangkitan Covid-19 meningkat “dua hingga tiga kali” lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak berbanding populasi lebih umum.

Kluge berkata, selain membantu mencegah jangkitan dalam kalangan ahli keluarga, pemberian vaksin kepada kanak-kanak boleh membantu mengelakkan penutupan sekolah dan pembelajaran di rumah.

Related posts

Leave a Comment