SUDAH
bertahun-tahun tidak ‘menyorok’ di Warung Bunian, Kampung Desa Putra, Kajang. Lokasi ini berhampiran Putrajaya. Kedudukannya agak tersorok. Mereka yang melalui jalan belakang ke Putrajaya dari Bangi lama akan ketemu tempat ini.
Kemalasan singgah di sini juga kerana biasanya ramai orang lebih-lebih lagi hujung minggu. Pergi lewat ada makanan dah habis di samping masalah nak letak kereta.
Apa pun Rabu lalu, 17 Julai, berpeluang juga menyorok di situ. Tetapi pukul 10 pagi baru terjah. Suasananya tidak banyak berubah berbanding suatu masa dulu, lima enam tahun lalu semasa menyorok di situ.
Alhamdulillah, hari tu, mudah nak park dan banyak meja kerusi kosong. Di kaunter pesanan diberitahu masih ada dua makanan popular di situ iaitu Roti Jiwa Kacau (RJK) dan Nasi Lemak Telur Bungkus (NLTB).
RJK ini adalah roti canai yang dicarik-carik dan dimasak dengan telur, sambal dan bawang. Memang kacau. Dah jadi macam murtabak pula. Dimakan dengan kuah.
Satu lagi, NLTB, nasi lemak yang dibalut dengan telur seperti nasi goreng Pattaya.
Di luarnya ada disediakan sambal dan ikan masin.
Itu dua makanan yang popular di situ di samping nasi lemak biasa telur mata, roti canai dan roti telur.
Dulu asalnya dikenali Kedai Makan Tapak Sulaiman. Mungkin tersorok sedikit dinamakan Warung Bunian. Tengah hari, menu popular adalah ketam masak lemak cili api.
Bagi yang berkesempatan dan ingin tahu apa itu RJK dan NLTB bolehlah mencuba jika berkesempatan. Sedap atau tidak, tekak masing-masing. Yang penting dapat ‘menyorok’.
