Ancam syarikat AS bina pusat AI di luar

WASHINGTON – Pentadbiran Amerika Syarikat (AS), mungkin mengenakan sekatan atau cukai tinggi terhadap syarikat teknologi AS yang membina pusat data kecerdasan buatan (AI) di luar negara.

Presiden Donald Trump, yang membayangkan demikian  berkata beliau mahu pembangunan infrastruktur AI kekal tertumpu di AS bagi memastikan negara itu terus mendahului persaingan global, khususnya berdepan China.

Bercakap kepada wartawan selepas pulang daripada lawatan ke Asia, beliau berkata, AS akan memastikan semuanya kekal di negara itu tanpa memperincikan bagaimana dasar itu akan dilaksanakan.

Ancaman itu dibuat ketika beberapa syarikat teknologi utama seperti Meta dan Google sedang meluaskan pelaburan pusat data mereka di luar AS.

Google, sebelum ini mengumumkan pelaburan berbilion euro untuk infrastruktur AI di Finland, manakala Meta membangunkan pusat data baharu di wilayah Alberta, Kanada.

Langkah itu turut menyusuli keputusan Washington minggu ini untuk mengetatkan kawalan eksport cip komputer berteknologi tinggi.

Syarikat yang mahu membeli cip canggih kini perlu mendapatkan lesen khas bagi mengelakkan teknologi tersebut digunakan oleh syarikat China atau diseludup ke negara itu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment