Sasaran 27.3 juta pelancong

PUTRAJAYA 20 Julai – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan kehadiran 27.3 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan RM102.7 bilion tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kerajaan merangka dan melaksanakan pelbagai strategi untuk merangsang industri pelancongan termasuk program Malaysia My Second Home (MM2H), Kepengerusian ASEAN Tahun 2025, dan kempen VM2026.

“Saya menyambut baik pandangan dan maklum balas daripada semua pihak terutama penggiat industri dalam memastikan usaha dan inisiatif ini mencapai objektif yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi akaun rasmi X miliknya semalam, selepas mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Katanya , kedatangan pelancong antarabangsa ke Malaysia menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan 9.48 juta pelancong setakat Mei lepas, berbanding 7.48 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Ahmad Zahid berharap semua kementerian dan pihak industri dapat berganding bahu dan komited menjayakan VM2026, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan bertaraf dunia.

“Industri pelancongan ialah pemacu penting ekonomi negara. Sektor ini memberi kesan positif kepada rantaian bekalan, peluang pekerjaan, pelaburan, pembangunan infrastruktur dan dapat mempromosikan budaya Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment