Pengerusi DAP Melaka mohon maaf

SEPANG 21 Nov. – Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka selepas dikecam pelbagai pihak termasuk rakan parti berhubung hantaran mengenai arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu pada setiap Jumaat.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, Poay Tiong mengakui kelemahan dalam cara menyampaikan pandangan tersebut, di mana pemilihan kata-kata dan nada hantaran yang menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.

Beliau juga menjelaskan amat menghormati Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka dan sama sekali tidak berniat untuk mempertikai atau memperkecil kepentingan ibadah berkenaan.

“Sebagai seorang wakil rakyat dan pemimpin, saya sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab dan sensitif dalam menyampaikan pandangan, khususnya apabila membabitkan isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk.

Saya menerima teguran dan kritikan yang diberikan dengan hati terbuka. Saya juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian itu,” katanya.

Beliau turut mengambil iktibar daripada perkara itu dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan pada masa hadapan.

“Sekali lagi, saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran saya. Saya memohon maaf dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Terdahulu Poay Tiong mempertikai larangan perniagaan atau hiburan pada waktu solat Jumaat yang dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Kenyataannya itu mencetuskan kritikan dalam kalangan masyarakat, termasuk pimpinan DAP.

Semalam Poay Tiong ketika mempertahankan kenyataan awalnya menegaskan tidak berniat menyentuh sensitiviti atau memperlekehkan amalan agama mana-mana pihak sebaliknya hanya membangkitkan persoalan mengenai dasar dan penguatkuasaan yang turut memberi kesan kepada masyarakat bukan Islam.

Katanya, kenyataan beliau yang dimuat naik mengenai arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mewajibkan semua premis perniagaan menghentikan operasi selama dua jam setiap Jumaat mendapat perhatian ramai dan menerima pelbagai maklum balas.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya menghormati Solat Jumaat dan amalan di Terengganu sudah lama diamalkan. Itu bukan isu yang saya bangkitkan.

Isu yang saya bangkitkan ialah mengenai penguatkuasaan menyeluruh melalui surat rasmi MBKT yang mengarahkan semua premis perniagaan ditutup dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang.

Ini termasuk premis bukan Islam dengan ancaman denda RM2,000, penjara atau pembatalan lesen perniagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Poay Tiong turut mempersoal kewajaran sekiranya penguatkuasaan sedemikian dilaksanakan di Melaka oleh kerajaan gabungan Barisan Nasional-Perikatan Nasional (BN-PN).

“Jika dilaksanakan, bagaimana pula nasib perniagaan dijalankan pelbagai kaum di Melaka? Melaka adalah sebuah negeri yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

“Dalam menggubal sesuatu dasar, kita perlu mengambil kira kepelbagaian ini serta kesannya terhadap kehidupan dan kegiatan perniagaan masyarakat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment