Riben putih tanda protes keputusan Speaker

KUALA LUMPUR 15 Julai  – Barisan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini mengenakan lilitan riben putih pada lengan kiri masing-masing ketika hadir ke Dewan Rakyat.

Tindakan itu sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, yang sebelum ini memutuskan enam kerusi disandang bekas wakil rakyat Bersatu kekal dan tidak berlaku kekosongan.

Perkara itu dimaklumkan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) ketika bangkit mengutarakan soalan pada sesi jawab lisan dengan tindakan protes itu merujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang merujuk berkaitan pertukaran parti politik anggota Dewan Rakyat.

“Riben Putih di lengan kiri sebagai protes berlakunya ‘reformati’… spesifik merujuk kepada (Perkara) 49A. Soalan Masjid Tanah sudah beri, mohon jawapan menteri,” katanya melalui pantun yang disampaikan.

PN mempunyai 68 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mewakili Bersatu dan Pas.

Enam wakil rakyat yang terhenti keahlian Bersatu tetapi kekal kerusi masing-masing adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang),  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang),  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan  Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Related posts

Leave a Comment