STABILKAH politik apabila Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengekalkan status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu ? Ini berikutan timbul pelbagai tafsiran berkaitan Akta Antilompat Parti sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.
Pihak yang membantah atau meragui keputusan Johari bukan sekadar pimpinan Perikatan Nasional (PN) malahan ada juga dalam kalangan penyokong kerajaan yang tidak setuju dengan keputusan Speaker.
Begitu juga dengan pelbagai tafsiran atau pandangan pihak yang tiada kaitan dengan parti politik termasuk pertubuhan bukan kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik di samping individu dalam kalangan politik.
Tafsiran siapakah yang sebenarnya betul atau boleh dipercayai? Jika mereka yang berada di pihak penggubal akta boleh mengeluarkan pelbagai kenyataan yang ‘mengelirukan’ apa lagi rakyat yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan.
Yang rasa lega dan mungkin ‘melompat’ gembira adalah enam wakil rakyat terlibat kerana mereka tidak perlu mengosongkan kerusi sebaliknya buat sementara ‘menebalkan muka’ dan ‘memekakkan telinga’ dalam menghadapi isu ini.
Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang)
Isu tafsiran ini jika tidak diselesaikan khabarnya akan ‘memakan diri’ yang membawa kepada ketidakstabilan politik kerana ada yang mendakwa mana-mana wakil rakyat boleh sahaja ‘melompat sokongan’ sesuka hati tanpa kehilangan kerusi.
Adakah Bersatu akan kehilangan lagi wakil rakyatnya? Bagaimana pula jika ada wakil BN beralih sokongan? Jika ini berlaku semakin gawat politik kita.
Tafsiran yang pelbagai juga menyebabkan rakyat keliru apa yang sebenarnya berlaku apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengosongkan kerusi Nenggiri sementara DUN Selangor pula mengekalkan status ADUN Selat Klang.
Kesimpulan mudah sudah tentulah Kelantan di bawah penguasaan Perikatan Nasional (PN) dan yang melompat mengalihkan sokongan kepada kerajaan PH-BN adalah ADUN PN. Maka ADUN berkenaan ‘dihukum’ kosongkan kerusi.
Manakala enam ahli Parlimen Bersatu yang mengalihkan sokongan kepada PH-BN secara tidak langsung, tidak yakin lagi kepada parti yang mereka wakil sebelum ini kerana tidak menjadi kerajaan. Realitinya, tanpa Bersatu, mereka belum tentu berada di kedudukan sekarang.
Pandangan awam, apabila wakil rakyat yang mereka pilih ‘beralih sokongan’ kepada parti lain, maknanya lompat dan hilanglah status wakil rakyat. Tak perlu menunggu mereka mengisytiharkan keluar parti, dipecat atau diberhentikan keahlian. Dan bagaimana pula status wakil rakyat yang digantung keahlian?
Hakikatnya, mereka menang atas tiket PN melalui keahlian Bersatu atau Pas bukannya pemimpin atau parti yang mereka sokong selepas hari pengundian. Sudah tentu pengundi mengundi atas nama parti diwakili.
Tindakan mereka boleh dianggap mengkhianati amanah yang diberikan pengundi dan tanpa merujuk akta antilompat, mereka yang bermaruah dan berintegriti seharusnya menyerahkan semula kedudukan wakil rakyat kepada pengundi.
Itu yang lebih baik berbanding menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat yang persepsi ramai pula dikatakan bertindak atas kepentingan politik kerana beliau juga asalnya orang politik terapi ‘disucikan’ selepas tidak lagi dalam barisan utama parti.
Malahan jika Speaker yang dilantik bukannya berasal daripada parti politik, masih ada yang akan menganggap beliau memihak kepada kerajaan kerana yang ‘melompat’ itu adalah individu yang sudah menyokong kerajaan.
Lebih-lebih lagi, keputusan itu dibuat selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang tidak memihak kepada parti kerajaan, maka tidak hairanlah ia turut dikaitkan dengan ‘takut kalah’ jika berlaku PRK di enam kawasan berkenaan.
Maka persepsi awam, kerajaan tanpa merujuk kepada Speaker mahu menjaga parti kerajaan yang akan bertanding menghadapi PN semasa PRK.
Agaknya jika hari itu Speaker membuat keputusan sebaliknya, iaitu mengosongkan kerusi itu, berapa ramai yang akan membantah atau mempertahankan kedudukan enam wakil rakyat itu?
Musuh PN iaitu PH dan BN juga hakikatnya sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding tanpa memandang lagi wakil rakyat yang sedia ada. Contoh Amanah dan UMNO sedia menurunkan calon mereka sendiri di Kuala Kangsar.
Nnn
