Putra bantu perjuangan selamatkan negara

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan membantu Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha menyelamatkan negara ini dari punah ranah oleh pihak-pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.

Presiden Putra Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, Putra akan mengemukakan beberapa agenda utama perjuangan parti itu melalui Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin oleh Dr Mahathir dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, walaupun Putra parti kais pagi makan pagi dan miskin tetapi semangat Putra bersih serta berintegriti yang menjadi asas perjuangan nasionalisme Islam.

“Dulu orang Melayu ada parti UMNO untuk menjaga kepentingan mereka, umat Islam ada parti Pas untuk menjaga Islam. Dua parti ini pelengkap antara satu sama lain bagi menjaga bangsa kita dan umat kita.

“Malangnya, dua parti ini telah mengkhianati perjuangan bangsa dan agama serta menggunakan parti sebagai alat politik. Sebab itulah Putra ditubuhkan,” katanya.

Menurut Ibrahim, sama ada tindakannya menubuhkan Putra, satu keputusan yang betul atau tidak, tetapi penubuhannya adalah disebabkan sudah hilang keyakinan kepada UMNO.

“Siapalah Putra ini yang diterajui pemimpin yang tidak boleh pergi jauh, tidak ada apa-apa tidak seperti parti-parti yang dipimpin oleh bekas Timbalan Perdana Menteri (PKR), oleh Perdana Menteri (Bersatu) dan oleh bekas menteri (Amanah).

“Tak apalah kita berkayuh dengan lidi, ada waktu kita merangkak, ada waktu kita minum air sejuk, tak apa,” katanya yang pernah menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Mengenai agenda Putra melalui GTA sekiranya memenangi pilihan raya umum, Ibrahim berkata antaranya mengembalikan semula Tanah Rizab Melayu yang asalnya 50 peratus dan kini hanya tinggal 12 peratus.

Putra juga akan memastikan pembahagian kek ekonomi dapat dinikmati oleh semua kaum dengan adil dan mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi sebagai usaha membanteras segala penyelewengan, kecurian dan penyalahgunaan kuasa terhadap ekonomi negara.

Di samping itu, Putra juga akan menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Related posts

Leave a Comment