KALI ini kita kuburkan mereka! Begitulah bersemangatnya Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir ketika berucap mewakili Barisan Nasional (BN) di pentas Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap.
Beliau mengajak penyokong BN – UMNO, MCA, MIC dan Pakatan Harapan (PH) – PKR, DAP, Amanah yang hadir menguburkan Perikatan Nasional (PN) pada PRK itu.
Presiden UMNO Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula pada hari-hari terakhir kempen mengulangi komitmen untuk bersama PH pada PRU-16, dan menegaskan kemenangan PH akan memberi imej yang baik terhadap kerjasama PH-BN.
Beliau juga menyatakan jika PH menang, kemenangan itu akan menjadi hadiah untuk Anwar Ibrahim, kebetulan hari ini kita sambut Tahun Baharu Hijrah 1446.
Kesudahannya, PN melalui calonnya dari Pas menang bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam, mengalahkan calon Kerajaan Perpaduan PH-BN.
PN menang bergaya kerana mempertahankan kerusi itu yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, menang dengan majoriti besar berbanding PRN lalu dan bergaya kerana menang dalam suasana kempen hebat oleh PH-BN.
Pada masa yang sama PN berjaya melenyapkan impian dan harapan kalangan pemimpin PH-BN khususnya UMNO sepanjang kempen itu.
Amat malang bagi PH-BN, musuh politik mereka, PN tidak dapat dikuburkan dan hasrat BN-UMNO untuk menghadiahkan kemenangan Sungai Bakap kepada Anwar Ibrahim (agaknya sempena sambutan awal Muharam) tidak kesampaian.
Kini siapakah yang dikuburkan pada PRK Sungai Bakap? Apa terjadi kepada imej kerjasama PH-BN? Kekalahan PH pula hadiah untuk siapa? Pengundi telah ‘menjawab’ persoalan ini.
Menyelak kembali kenyataan Musa yang juga Pengerusi BN negeri : “Kali ini kita kuburkan mereka (PN), kita rampas Sungai Bakap daripada depa (mereka). Cukup-cukuplah jadi ADUN di Sungai Bakap. Kita akan mulakan semangat baharu bersama satu jentera menangkan calon Pakatan Harapan,”.
Melihat kepada kempen yang berlangsung, PN boleh ‘bungkus’ atau dikuburkan di Sungai Bakap. Sebabnya apa yang tidak ada kepada pasukan kempen PH-BN ini. Panglima perangnya hebat-hebat dengan jawatan, pidato, formula dan pantun.
Disokong pula dengan jentera melibatkan kerajaan, ditabur janji dan projek silih berganti walaupun projek lama diperbaharui atau dinaik taraf di samping peranan media yang lebih terarah kepada mereka. Ringkasnya tak terdaya PN ‘mengejar’
Pada masa yang sama, seperti diselak sebelum ini, Sungai Bakap mempunyai sokongan atau kekuatan pemimpin kerajaan yang mewakili Parlimen Nibong Tebal, Parlimen Bukit Mertajam dan Parlimen Batu Kawan.
Di Nibong Tebal ada Menteri Pendidikan Fadlina Sidek, di Bukit Mertajam ada Steven Sim iaitu Menteri Sumber Manusia dan di Batu Kawan ada Ketua Menteri Chow Kon Yeow. Musa pula Ketua UMNO Bukit Mertajam. Exco kerajaan negeri juga ada.
Begitulah kekuatan yang ada pada PH-BN bagi memenangi semula Sungai Bakap yang pernah dikuasai PH-PKR selama tiga penggal dan BN sepenggal.
Namun entah di mana silapnya, kekuatan yang ada tidak mampu memenangkan PH-BN. Sebagai sebuah kerajaan, sudah tentu kekalahan dengan majoriti sebesar itu amat memedihkan.
Jika orang Melayu dikatakan majoriti yang keluar mengundi, apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pengundi-pengundi Melayu? Adakah lebih 5,000 anggota UMNO memberi sokongan padu kepada PH-BN? Bagaimana pula Melayu lain?
Andai PH-BN menyatakan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina dan India merosot sehingga hilang 1,000 atau 2,000 undi, apa pula mesej yang ingin disampaikan golongan itu kepada parti politik seperti DAP, PKR, MCA atau MIC?
Pada satu jamuan makan malam di Selayang, hadirin bertepuk tangan apabila Ahli Parlimen DAP dari Kepong Lim Lip Eng mengumumkan keputusan PRK tersebut pada majlis yang kebanyakannya dihadiri masyarakat Cina. Apa maknanya itu?
Di manakah kekuatan PN khususnya Pas dan Bersatu sehingga majoriti pada PRK mengatasi majoriti semasa PRN?
Jawapan kepada persoalan ini mungkin mampu dijawab selepas ‘bedah siasat’ dilakukan oleh PH-BN dalam menghadapi PRK akan datang seterusnya PRU-16 supaya kerjasama PH-BN benar-benar kukuh dan boleh diterima. Esok masih ada!
Nnn
