KUALA LUMPUR – Sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan Perikatan Nasional (PN) masih utuh seperti terbukti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa kemenangan itu juga adalah referendum jelas bahawa rakyat menolak teraju kepemimpinan kerajaan Persekutuan yang tidak cakna isu rakyat.
Katanya, kemenangan dikecapi PN di kerusi Sungai Bakap bukan semata-mata atas sokongan pengundi Melayu, bahkan bukan Melayu sekali gus menunjukkan PN memayungi semua kaum.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional di PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Kemenangan ini bukan sahaja membuktikan sokongan padu pengundi Melayu tetapi menandakan secara jelas bahawa Perikatan Nasional sudah menjadi wadah utama politik rakyat berbilang kaum, yang mahukan keadilan kepada semua pihak serta menolak kezaliman.
“Pada masa yang sama, lonjakan majoriti sebanyak 4,267 undi yang diterima saudara Abidin Ismail adalah referendum jelas bahawa rakyat menolak kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah yang juga ketua pembangkang mendakwa isu kos sara hidup, kenaikan harga diesel, rasuah dan BlackRock antara menjadi kebimbangan rakyat.
Oleh itu, beliau berkata kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri jangan sesekali mengabaikan kegusaran rakyat.
“Terima kasih kepada pengundi Sungai Bakap dan tahniah buat seluruh jentera pilihan raya PN yang bertungkus-lumus sejak dari hari pertama kempen, ” katanya.
Nnn
