PUTRAJAYA 12 Jun – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegur pengumuman peruntukan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Menurut Bersih pengumuman sebegini sudah menjadi kelaziman baharu kepada Kerajaan Madani apabila menjelang PRK sedangkan isu penggunaan sumber kerajaan semasa tempoh pilihan raya sering dibantah ketika mereka menjadi pembangkang.
“Bersih dengan keras menyelar tindakan menggunakan sumber kerajaan semasa pilihan raya, tidak kira sama ada pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum,” kata Bersih dalam kenyataan bertajuk “Kerajaan Madani Jangan Bertukar Kulit Kepada Apa Yang Mereka Benci Dahulu,”.
Semalam, Perdana Menteri melalui setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyampaikan sumbangan bernilai RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau di kawasan DUN Sungai Bakap sempena Hari Raya Korban 17 Jun ini.
Pada hari yang sama, Kor Ming juga telah menyampaikan cek bernilai RM17, 751, 284 untuk projek pembinaan balai bomba, penaiktarafan pasar Bukit Panchor dan sumbangan rumah ibadah bukan Islam.
Jawatankuasa Pemandu Bersih mendakwa, amalan tidak beretika itu masih berterusan dalam siri pilihan raya dan bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang sama rata dalam pilihan raya.
Menurut Bersih, siri pelanggaran terhadap etika pilihan raya bersih dan adil oleh Kerajaan Madani dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, akan menghakis keyakinan rakyat, terutama pengundi terhadap sistem pilihan raya dan proses demokrasi di negara ini.
“Sekali lagi Beraih menegaskan supaya wujudkan garis panduan menyeluruh berkaitan etika kerajaan bukan sementara dan kerajaan sementara semasa tempoh pilihan raya yang bermula sebaik sahaja pembubaran Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) atau (berlaku) kekosongan kerusi.
Ia untuk dikanunkan sebagai undang-undang supaya tidak berlaku salah guna sumber kerajaan dalam sebarang pengumuman peruntukan dan dasar kerajaan yang diamanahkan rakyat,” kata kenyataan itu.
Bersih juga mengingatkan Kerajaan Perpaduan ini bahawa gula-gula pilihan raya seperti penyampaian peruntukan ini tidak akan menjadikannya lebih popular.
“Sebaliknya akan dilihat menggunakan apa sahaja cara, bahkan kaedah yang dulu dikecam sebagai tidak adil, hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap pilihan raya bersih dan adil,” kata kenyataan itu.
Menurut Bersih, menteri sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri sepatutnya mengetahui batasan peranan masing-masing dalam tempoh menghadapi pilihan raya.
Bersih sebelum ini telah menggariskan larangan 3C No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon) sejak Pilihan Raya Negeri 2023 kepada kerajaan bukan sementara (non-caretaker government), seperti Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam konteks PRK.
NNNN