Agong berangkat ke Makkah tunai haji

KUALA LUMPUR 21 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpesan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menjaga negara sebelum baginda berangkat menunaikan haji, hari ini.

Menurut laporan Bernama, majlis keberangkatan Seri Paduka berdua yang diadakan di Istana Negara, turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Baginda ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut mengiringi, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci dari 21 Jun hingga 2 Julai ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Pada majlis itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah memimpin bacaan doa, disusuli laungan azan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Istana Negara, Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni.

Related posts

Leave a Comment