Batu Puteh : Dr M tidak buat keputusan bersendirian

PUTRAJAYA  12 Jun – Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak membuat keputusan secara bersendirian menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh pada 2018 sehingga Malaysia hilang lokasi itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan itu sebaliknya diputuskan oleh Kabinet pada tahun 2018.

Dr Mahathir berkata, pihaknya hanya memberikan pandangan untuk tidak meneruskan kerana pakar dan peguam berpendapat ia adalah suatu kes yang lemah untuk Malaysia.

“Saya tidak membuat keputusan secara bersendirian, sebaliknya hanya memberikan pendapat bahawa Malaysia tidak patut meneruskan kerana ia adalah kes yang lemah dan kita tidak mempunyai ‘peluru’ untuk menang.

“Walaupun sebagai Perdana Menteri saya ada kuasa tetapi saya memilih untuk tidak membuat keputusan sebaliknya ia diputuskan Kabinet dan kita perlu menghantar keputusan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 8 Jun 2018,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir memberi keterangan hampir dua jam pagi ini kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diadakan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.

April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),  Azalina Othman Said, dilaporkan berkata Perdana Menteri (ketika 2018) yang membuat keputusan sembunyi-sembunyi adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa.

Ismail Sabri Yaacob pada 2022 ketika menjawat jawatan Perdana Menteri, mengakui kemungkinan terdapat kecuaian dan kekhilafan Dr Mahathir sehingga Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.

ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura.

Sementara itu, Dr Mahathir menyifatkan tuduhan dibuat Azalina adalah karut kerana Kabinet ketika itu termasuk Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri serta beberapa Menteri yang masih berkhidmat kini, tidak menentang idea tersebut.

Tambah Dr Mahathir, kenyataan Azalina bahawa beliau tidak mendapat pandangan pakar lain berhubung perkara itu tidak benar sama sekali.

“Saya mendapat taklimat daripada perundingan antarabangsa, Brendan Plant dan pegawai perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC). Azalina tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini,” jelas beliau.

Mengenai kenyataan Mohamed Apandi Ali bahawa beliau tidak dirujuk oleh Dr Mahathir ketika menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ itu, beliau bagaimanapun berkata ia adalah kerana bekas Peguam Negara itu tidak boleh dipercayai dan tidak melakukan kerja dengan betul.

Ditanya sama ada beliau akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Azalina, Ismail Sabri dan Mohamed Apandi, Dr Mahathir berkata, beliau akan memikirkan terlebih dahulu mengenai perkara itu.

“Saya akan memikirkan mengenai perkara itu, kalau kita saman seseorang, ia akan mengambil masa 10 tahun untuk mendapatkan keputusan…dan ketika itu saya sudah berada di ‘tempat’ lain (meninggal dunia),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, ketika Malaysia dan Singapura memutuskan untuk membawa perkara berkaitan Batu Puteh kepada ICJ, perjanjian sudah dibuat bahawa apa sahaja keputusan perlu diterima oleh kedua-dua negara.

“Kita perlu mematuhi janji (untuk terima keputusan)…kalau mungkir janji nama buruk terdapat pada Malaysia,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment