Ahli Parlimen Kluang Pengerusi TalentCorp

Ahli Parlimen Kluang Pengerusi TalentCorp

PUTRAJAYA- Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Wong Shu Qi, dilantik sebagai Pengerusi Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), agensi di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkuat kuasa hari ini.

Turut dilantik adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dari 2018 hingga 2022, Mohd Khuzzan Abu Bakar, yang pernah berkhidmat dengan Bank Mualamat selama lebih 14 tahun sebagai Timbalan Pengerusi.

Shu Qi yang juga Ahli Lembaga Pengarah Research for Social Advancement (REFSA), merupakan lulusan ijazah berganda dalam Kewartawanan dan Sains Politik dari Universiti Chengchi Nasional di Taiwan dan Sarjana dalam Pengurusan Awam dari Universiti Nasional Singapura.

Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong, ketika mengalu-ngalukan pelantikan itu berharap barisan ahli lembaga pengarah yang dilantik ini akan membawa perspektif baharu dan strategi yang inovatif untuk membangunkan ekosistem bakat Malaysia melalui inisiatif TalentCorp.

“Pelantikan ini mencerminkan kepentingan berterusan TalentCorp sebagai badan pemikir strategik KESUMA, yang berdedikasi untuk menarik, memupuk, dan mengekalkan bakat Malaysia untuk terus maju dalam landskap yang berkembang pesat kerana tuntutan Masa Depan Kerja dan peningkatan globalisasi,” katanya.

Beliau berkata, sejak penubuhannya pada tahun 2011 hingga kini, TalentCorp bekerjasama rapat dengan rakan kongsi strategik dalam sektor awam dan swasta untuk memperkasa sumber paling berharga negara yakni rakyat Malaysia sendiri.

Katanya, usaha ini dilakukan melalui inisiatif yang menyasar kumpulan bakat utama iaitu rakyat di dalam negara yang memberi fokus kepada graduan dan bakat wanita; rakyat Malaysia di luar negara sama ada golongan profesional mahupun pelajar; serta bakat ekspatriat yang menyumbang secara bermakna kepada negara ini.

“Di bawah pengawasan ahli lembaga pengarah yang baharu dan bimbingan barisan kepimpinan utamanya, TalentCorp komited untuk meneruskan usaha menyokong serta membangunkan bakat merentasi semua peringkat kemahiran dan menyumbang ke arah mencapai matlamat Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan untuk bakat global terkemuka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment