PRK : Dr Joohari Ariffin calon PHBN

NIBONG TEBAL 13 Jun – Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai depan.

Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan pemilihan calon itu dalam Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di pekarangan tapak parkir sebuah pasar raya di Bandar Tasek Mutiara, di sini, malam ini.

Rafizi berkata, calon yang ditampilkan kena dengan kehendak rakyat kerana anak tempatan,  lahir di Permatang Pasir Seberang Perai, dan membesar serta mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap.

Menurut Rafizi, calon itu juga orang cerdik pandai dan bukan sahaja menjaga tanggungjawab hanya untuk diri sendiri tetapi untuk generasi akan datang.

Pada majlis itu, Joohari turut menandatangani surat Aku Janji Calon Perpaduan bagi mewakili gabungan berkenaan untuk bertanding menawan semula Sungai Bakap yang pernah menjadi milik PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Hadir sama dalam majlis itu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO , Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek dan barisan pimpinan negeri yang lain.

Joohari, 60, yang menetap di Taman Ilmu, di sini adalah bekas guru dan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau aktif dalam kerja amal dan kemasyarakatan hingga dikenali sebahagian ibu bapa dan pelajar, guru serta penjawat awam di sekitar DUN Sungai Bakap.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment