1 Mei belum pasti pulang

BELUM pasti 1 Mei. Ada kekeliruan tarikh pergerakan pulang mereka yang berada di kampung kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan bahawa 1 sehingga 3 Mei adalah tarikh perjalanan dibenarkan bermula.

“Sebenarnya  sehingga 1 Mei itu adalah pendaftaran melalui temu janji di balai polis. Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia dan sesiapa yang tidak mempunyai aplikasi tersebut boleh melaporkan ke balai-balai polis berdekatan melalui temu janji,” katanya.

Ismail Sabri berkata selepas mendapat data dan maklumat daripada permohonan orang ramai itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PDRM akan membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menetapkan tarikh pergerakan tersebut.

Beliau menjelaskan  kerajaan tidak hanya melihat isu pergerakan merentas negeri membabitkan mereka yang kini di kampung dan ingin pulang ke destinasi masing-masing sahaja tetapi turut melihat kekangan lain dalam isu tersebut.

Katanya banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum membuat keputusan kerana masalah pergerakan itu bukan seperti isu membawa pulang pelajar di kampus ke kampung halaman masing-masing.

Antara isu itu adalah mereka yang tiada kenderaan untuk pulang dan  satu kenderaan lima orang misalnya (ia melanggar akta) kerana akta menetapkan iaitu satu pemandu sahaja. 

 Kerajaan juga mengambil maklum masalah yang dihadapi individu yang terkandas di bandar dan mahu pulang ke destinasi masing-masing.

Jelasnya ia susulan terdapat orang ramai bercuti di bandar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Sebelum ini twitter MKN juga memuatnaik grafik carta perjalanan pulang itu yang dikeluarkan Bernama berdasarkan kenyataan PDRM.

Related posts

Leave a Comment