PUTRAJAYA 24 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum dakwaan sesetengah pihak kononnya Malaysia mempertaruhkan kedaulatan negara dalam memuktamadkan Pindaan Bersasar Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) 2005.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia hanya akan menandatangani perjanjian antarabangsa sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong, martabat raja-raja dan kedaulatan negara terjamin.
Beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-77 (WHA77) pada 27 sehingga 31 Mei ini di mana, antara perkara utama bakal dibincang ialah perkembangan rundingan bagi IHR 2005 dan rundingan bagi penyediaan Perjanjian Pandemik.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama semua negara anggota termasuk Malaysia, sepakat menubuhkan dua platform rundingan antarabangsa iaitu Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) dan Kumpulan Kerja Mengenai Pindaan Kepada IHR (WGIHR),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penubuhan kedua-dua platform berkenaan bertujuan memperkukuh aspek kesiapsiagaan, pencegahan, pengesanan dan maklum balas terhadap kecemasan kesihatan menghadapi pandemik di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
“KKM ingin menegaskan penyertaan Malaysia dalam kedua-dua platform rundingan ini bertujuan menjaga kepentingan kesihatan awam negara dan wajib mematuhi tiga prinsip utama iaitu kedaulatan, kesamarataan dan pendanaan.
“Proses rundingan ini membabitkan pelbagai kementerian dan agensi dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat dilindungi serta memelihara kedaulatan undang-undang negara,” katanya.
Menurut Dr Dzulkefli, kedua-dua sesi rundingan ini diterajui sepenuhnya oleh negara anggota, manakala WHO hanya bertindak sebagai Sekretariat kepada kedua-dua sesi rundingan dan semua keputusan tertakluk kepada persetujuan negara anggota.
“WHO menyatakan Peraturan IHR yang dipinda tidak akan memberi hak kepadanya mengarah atau memaksa sesebuah negara mengenakan sebarang langkah kesihatan, termasuk sekatan atau perintah kawalan pergerakan atau lain-lain tindakan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia sentiasa memastikan prinsip asas seperti kedaulatan dan autonomi, keadilan dan solidariti, ketelusan serta kesamarataan disuarakan dalam setiap rundingan.
Sekiranya instrumen yang akan dimuktamadkan mengutamakan prinsip asas yang dipertahan terutama kedaulatan negara, katanya, KKM akan mengangkat kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan bagi kerajaan menandatangani instrumen berkenaan.
“Sehingga itu, kerajaan tidak akan terikat dengan instrumen berkenaan,” katanya.
